Kenapa ketirisan negara sebelum ini dibiar berlarutan, kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun berjaya kutip RM15 bilion, soal PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenapa ketirisan negara sebelum ini dibiar berlarutan, kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun berjaya kutip RM15 bilion, soal PM Anwar

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 11 Nov - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan kenapa aktiviti jenayah yang membawa kepada ketirisan hasil negara berbilion ringgit dibiarkan berlarutan sehingga berpuluh-puluh tahun tanpa ada tindakan tegas.

 

Tegasnya, ini berbeza dengan kerajaan Madani, apabila berjaya mengutip hasil daripada tindakan penguat kuasaan ke atas kegiatan haram tersebut sejak dua tahun lalu dengan nilai rampasan mencecah RM15 bilion.

 

"Cakap boleh cakap, tapi saya tanya kenapa tak boleh buat dahulu? Mengapa dibiarkan? RM15 bilion dalam tempoh dua tahun (berjaya dirampas), ini bukan jumlah kecil. 

 

 

 

 

 

 

 

"Dan pagi tadi saya bermesyuarat, (akan) ada lagi. Saya kata ini mesti teruskan, biar negara ini bersih daripada rasuah dan penyeludupan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Mohd Isam bertanyakan jumlah terkini hasil rampasan dan kutipan penalti yang diperolehi oleh semua agensi penguat kuasa serta langkah-langkah yang diambil dalam menperkukuhkan usaha membanteras ketirisan hasil negara.

 

Perdana Menteri berkata, usaha mengutip balik hasil negara itu bukan mudah kerana, pihak berkuasa 'bertempur' dengan kartel-kartel besar bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ini yang berpengaruh dan mempunyai dana.

 

Katanya, ia memerlukan dokongan dan tekad politik yang tegas menerusi penubuhan pasukan petugas khas dianggotai oleh semua agensi penguat kuasa dengan mandat penuh iaitu tidak berkompromi kepada penyeludupan dan penipuan.

 

Menurut Perdana Menteri, sejak digerakkan dari 2023 sehingga tahun ini, pasukan petugas khas itu telah berjaya mematahkan kegiatan haram itu dengan nilai rampasan mencecah RM15 bilion termasuk dalam bentuk tunai, harta, saham syarikat, tanah dan gedung-gedung.

 

Daripada jumlah itu, jelasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumpul jumlah nilai lucut lebih RM8 bilion.

 

Polis Diraja Malaysia pula, katanya, mengumpul nilai harta hasil penyitaan hampir RM4 bilion, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia menumpas sindiket haram dan penyeledupan membabitkan nilai RM2.5 bilion.

 

Tambah Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia pula berjaya mengumpul kutipan penalti RM1 bilion.

 

Anwar berkata, terdapat lebih 20 pendakwaan telah dilakukan ke atas sidiket haram itu.

 

"Mengapa hal ini diizinkan berlaku berjalan puluhan tahun dan apa bedanya dengan Kerajaan Madani. Kita ambil tindakan yang tegas.

 

"Dan kita tabik kepada badan penguat kuasa  ini kerana mengambil tanggungjawab dengan berani dan tegas, kita harus berikan pengiktirafan kepada mereka," ujarnya.

 

Perdana Menteri berkata, menyedari cabaran yang bakal dihadapi pasukan penguat kuasa, kerajaan akan meningkatkan langkah keselamatan baru termasuk pengenalan prosedur dan pembelian aset baharu.

 

 

 

 

 

 

"Kerana yang masuk seperti e-waste itu, dia besar. Masih (boleh) diseludup dan berlarutan bertahun-tahun. Kalau jarum diseludup, saya tahu susah sikit, tapi ini kontena boleh di seludup. 

 

"Seludup keluar, seludup masuk. Ini bukan baru, berlaku berpuluh tahun dan 'diizinkan' oleh pihak tertentu, kata Perdana Menteri. - DagangNews.com