KUALA LUMPUR 4 Feb - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan yang beliau hanya memberi respons kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berhubung isu kenaikan tarif elektrik untuk sektor industri.
Justeru, Perdana Menteri menjelaskan bahawa 85 peratus pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terjejas dengan peningkatan kadar yang akan diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Julai depan.
"Dengar (balik) ucapan saya, masalahnya ia didengari dengan perasaan benci. Saya berkata 'boleh saya jawab panggilan ACCCIM'. Saya hanya menjawab soalan ACCCIM (berhubung) kenaikan kadar tarif untuk industri.
"Ia bukan untuk (seluruh) negara dan rakyat. Dengar baik-baik, ini didengari dengan perasaan marah sahaja, ini penyakit marah, bukan fakta ekonomi,” katanya pada sesi Waktu Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (Perikatan Nasional-Machang) itu turut menafikan kononnya pihak kerajaan cuba membuat pusingan U dalam isu sensitif tersebut.
Anwar ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran ACCCIM semalam menjelaskan yang kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia masih akan berlaku pada separuh kedua tahun ini.
Bagaimanapun ujar Ahli Parlimen Tambun yang juga Menteri Kewangan itu, kadar baharunya akan ditentukan TNB sebelum dimuktamadkan kerajaan selepas proses semakan teliti dilaksanakan kemudian.
Beliau berkata, langkah semakan masih perlu dibuat memandangkan kenaikan tarif elektrik perlu berlaku, berdasarkan kapasiti dan harga dalam tempoh tertentu.
Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan keputusan TNB mahu menaikkan tarif elektrik kepada pemain industri, tetapi tidak melibatkan kadar mencecah 14 peratus.
“Kalau orang kaya tidak ada (bayar) cukai, (maka) hendak menaikkan kos sekolah dan hospital, dari mana datang duit (peruntukan)? Jadi kita kenalah terima kenyataan bahawa kenaikan tarif yang munasabah.
"Ia wajar dikenakan untuk pihak industri dan golongan kaya. Saya ulangi, kenaikan kadar bagi industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT (Ketidakseimbangan Kos Bahan Api) mulai Julai,” katanya. - DagangNews.com








