KUALA LUMPUR 28 Jan - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kementerian serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi penekanan serius terhadap aspek penilaian keberkesanan inisiatif berimpak tinggi di Bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini berkata kementerian dan GLIC juga perlu memastikan pelaksanaan inisiatif yang dirangka tidak bertindih dan bersifat saling melengkapi.
"Analisis mendalam dan berterusan penting bagi mengelakkan kecenderungan hanya sekadar menyenaraikan usaha yang telah dilaksanakan, tanpa menilai impak sebenar serta ruang penambahbaikan yang wajar diterokai,' katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut mengambil maklum kemajuan semasa pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh GLIC dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera, khususnya dalam bidang pembangunan hartanah, keusahawanan, pembangunan bakat dan inisiatif sosial.
“Dengan pendekatan yang lebih bersepadu, berfokus dan tersusun, saya yakin inisiatif di bawah PuTERA35 akan terus memberi manfaat merentasi pelbagai lapisan masyarakat serta menzahirkan hasil yang dihasratkan demi kemakmuran ekonomi Bumiputera dan negara secara keseluruhan,” katanya.
PuTERA35 ialah hala tuju strategik jangka panjang (11 tahun) yang dilancarkan kerajaan pada Ogos 2024 untuk memperkasakan sosioekonomi Bumiputera, termasuk di Sabah, Sarawak, dan Orang Asli.
Ia bertujuan meningkatkan penyertaan, pemilikan, dan penguasaan ekonomi Bumiputera secara dinamik serta futuristik sejajar dengan RMK-12. - DagangNews.com








