Kemasukan dalam F4GBM, F4GBMS kukuhkan reputasi DNeX di peringkat global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemasukan dalam F4GBM, F4GBMS kukuhkan reputasi DNeX di peringkat global

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Dis – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) berjaya dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah (F4GBMS) berkuat kuasa 22 Disember 2025. 

 

DNeX berkata, kejayaan berganda itu adalah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian syarikat dan merupakan pengiktirafan terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) DNeX.

 

Kemasukan ini susulan penubuhan Unit Kelestarian Kumpulan pada 2021 dan pengiktirafan sebelum ini termasuk The Edge Malaysia ESG Silver Award bagi Prestasi Peningkatan Terbaik pada 2022.

 

Ketua Pengurusan Risiko dan Kelestarian Kumpulan, Mathias Varming berkata, kemasukan ke dalam indeks berprestij ini membuktikan komitmen strategik DNeX terhadap ESG.

 

“Ia menjadikan pelan kelestarian DNeX diiktiraf di peringkat antarabangsa dan membantu mempercepatkan inisiatif syarikat serta memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak.

 

“Pencapaian ini akan mempercepatkan inisiatif ESG syarikat serta meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan,” katanya dalam atu kenyataan.

 

Kemasukan berganda ini memberi beberapa kelebihan strategik kepada DNeX, termasuk meningkatkan profil pasaran syarikat kepada pelabur global yang mencari syarikat yang diurus secara bertanggungjawab.

 

Selain itu, ia akan memudahkan DNeX menarik pelaburan daripada dana fokus ESG yang mengurus aset dianggarkan USD 3.7 trilion, serta memastikan syarikat turut termasuk dalam dana yang menggunakan indeks F4GBM dan F4GBMS sebagai rujukan, sekali gus meningkatkan kecairan dan kepelbagaian pemegang saham.

 

DNeX menegaskan komitmen berterusan terhadap agenda kelestariannya, menggunakan rangka kerja FTSE4Good sebagai panduan untuk penambahbaikan berterusan dalam prestasi korporat dan tadbir urus. - DagangNews.com