BUTTERWORTH 14 Sept – Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Butterworth kini bakal menikmati kemudahan Internet berkelajuan tinggi menerusi pelaksanaan projek Fibre-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini meninjau perkembangan projek tersebut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional untuk memperluaskan capaian digital ke kawasan kem tentera seluruh negara.
Pangkalan Udara Butterworth disenaraikan sebagai satu daripada kem keutamaan di bawah Kluster 1 (Utara), hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama ATM menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 11 Oktober 2024.
Secara keseluruhan, projek ini melibatkan 73 kem tentera di seluruh negara dengan lebih 59,000 unit RKAT bakal menerima manfaat capaian Internet stabil dan laju.
Menurut Fahmi, pelaksanaan projek ini dilaksanakan secara berperingkat melalui DUSP Part 1 oleh Stealth Solutions dan DUSP Part 2 oleh TM Technologies Services, dengan perkembangan positif direkodkan setakat ini.
“Melalui projek ini, warga ATM berpeluang melanggan pakej Perajurit Broadband pada harga mampu milik iaitu RM49 sebulan untuk kelajuan 100Mbps, dengan tawaran pengenalan RM39 sebulan bagi tempoh enam bulan pertama,” katanya.
Beliau menegaskan, kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup anggota dan keluarga tentera, malah menyokong pembelajaran anak-anak serta memperkukuh kesejahteraan komuniti pertahanan negara.
Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip inklusif bagi memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus digital.
MCMC dalam kenyataannya menegaskan pihaknya akan terus memantau rapi pelaksanaan projek bagi memastikan kualiti perkhidmatan berada pada tahap terbaik dan memberi manfaat maksimum kepada warga tentera.
Turut hadir dalam lawatan hari ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. - DagangNews.com








