KUALA LUMPUR 2 Sept - Kelington Group Berhad (KGB) memeterai enam perjanjian rangka kerja di Jerman yang berpotensi membuka peluang projek hook-up semikonduktor bernilai sehingga €50 juta (kira-kira RM247 juta).
Menurut pemakluman di Bursa Malaysia, anak syarikatnya, Kelington Engineering (Germany) GmbH, telah menandatangani perjanjian tersebut pada 29 Ogos 2025 bersama sebuah syarikat multinasional semikonduktor di Dresden, Jerman.
Kontrak itu meliputi perkhidmatan hook-up bagi sistem proses utama termasuk gas khas, bahan kimia, slurry, gas pukal, vakum proses dan air ultra tulen.
Perjanjian berkenaan menetapkan terma umum di mana syarikat semikonduktor berkenaan boleh mengeluarkan pesanan individu dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Nilai kontrak minimum dianggarkan pada €30 juta (RM148.2 juta), dengan potensi meningkat bergantung pada konfigurasi projek akhir.
“Perjanjian rangka kerja ini merupakan pencapaian penting kerana ia meletakkan Kelington pada kedudukan untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan industri semikonduktor di Eropah,” kata syarikat itu dalam pengumuman tersebut.
Di bawah terma tersebut, kontrak yang sah hanya akan wujud apabila pelanggan mengeluarkan pesanan pembelian berasingan, yang mana skop, masa dan nilai setiap pakej perkhidmatan akan bergantung kepada permintaan dan jadual projek pelanggan.
KGB menjelaskan, projek ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta meningkatkan aset bersih sesaham sepanjang tempoh pelaksanaannya, dengan tiada risiko material dijangka selain risiko operasi biasa.
Tiada pengarah, pemegang saham utama, atau pihak berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan dalam perjanjian tersebut.
Kelington, yang dikenali dengan sistem penghantaran gas ultra berketulenan tinggi, terus memperluaskan jejaknya di luar Asia, dan perjanjian di Jerman — sebuah hab utama semikonduktor — menegaskan peranan syarikat sebagai penyedia penyelesaian global untuk industri cip. - DagangNews.com








