Kelington dijangka catat rekod baharu pendapatan pada 4Q25 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington dijangka catat rekod baharu pendapatan pada 4Q25 - RHB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 26 Nov – Prospek Kelington Group Bhd (KGB) terus positif apabila syarikat itu dijangka menutup tahun kewangan 2025 (FY25) dengan prestasi kukuh, disokong buku pesanan tertunggak mencecah rekod MYR1.6 bilion, faktor utama yang mendorong lonjakan pendapatan suku keempat 2025, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran MYR6.10, menawarkan potensi kenaikan 13% dan hasil sekitar 3% bagi FY26.

 

"Sasaran harga itu berasaskan +0.5 sisihan piawai daripada purata Indeks Teknologi Bursa Malaysia (KLTEC) bersama premium ESG 6%," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

FY26 dijangka jadi tahun rekod baharu

Menurut Kelington pendapatan teras suku keempat 2025 dijangka mencapai paras tertinggi baharu berikutan faktor bermusim dan peratusan tinggi kerja-kerja advanced engineering yang menyumbang 69% daripada buku pesanan kumpulan.

 

"Ini merupakan tahap tertinggi dalam sejarah KGB dan dijangka memastikan syarikat kekal sibuk sehingga FY27," kata RHB.

 

Sumbangan kukuh daripada pasaran Singapura dan Malaysia terus mengimbangi jualan lebih lemah dari China, susulan kelewatan penerimaan peralatan di sana.

 

Tenderbook cecah MYR4.6 bilion – India dan Eropah dominan

Tenderbook Kelington kini mencecah RM4.6 bilion sehingga September 2025, dengan India menyumbang jumlah terbesar iaitu RM1.9 bilion (40%).

 

Eropah pula muncul sebagai tenderbook kedua terbesar pada RM1.5 bilion, diikuti Singapura (RM415 juta), Taiwan (RM325 juta), Malaysia (RM314 juta) dan China (RM204 juta).

 

Kelington yakin buku pesanan akan berkembang lebih jauh pada FY26, didorong komitmen pelaburan global melebihi AS$100 bilion dalam sektor foundry di pasaran sedia ada kumpulan.

 

Syarikat juga berpotensi meraih kerja hook-up bagi pelanggan memori jalur lebar tinggi (HBM) dari Amerika Syarikat di Singapura.

 

Usaha Bio-CNG di peringkat akhir

Kelington turut memaklumkan rundingan mengenai projek pengeluaran bio-methane (CH₂) menggunakan efluen kilang minyak sawit (POME) kini berada di peringkat lanjutan.

 

Syarikat sedang menilai dua model pelaburan iaitu, pembinaan tapak penaiktarafan mini bernilai RM10–12 juta setiap satu, atau pembangunan fasiliti berpusat bernilai RM400–600 juta.

 

Pada 3Q25, Kelington merekodkan kedudukan tunai bersih mencecah RM292.6 juta, dipacu penukaran waran pada harga pelaksanaan MYR1.38.

 

Penukaran baki waran dijangka menambah sekitar RM140 juta kepada dana syarikat pada 1H26. - DagangNews.com