Kelington dijangka catat keputusan kukuh, RHB Research kekal saranan BELI dengan TP RM6.10  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington dijangka catat keputusan kukuh, RHB Research kekal saranan BELI dengan TP RM6.10 

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 12 Nov – RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham Kelington Group Bhd dengan harga sasaran (TP) RM6.10 dan yakin saham itu mampu menawarkan potensi kenaikan sebanyak 12% serta hasil dividen sekitar 3% bagi tahun kewangan 2026 (FY26F).

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan Kelington bakal mencatat satu lagi keputusan suku tahunan yang kukuh, dengan PATAMI teras 3Q25F dijangka mencapai paras tertinggi baharu hasil daripada peningkatan margin keuntungan bersih (NPM).

 

“Buku pesanan semasa yang kukuh melebihi RM1 bilion dan tempahan baharu tahun ke tarikh (YTD) melebihi RM1.1 bilion dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan CAGR pendapatan teras FY25F–FY27F sebanyak 12%,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambah RHB, harga sasaran RM6.10 tersebut ditetapkan berdasarkan +0.5 sisihan piawai (SD) daripada purata sejarah P/E Indeks Teknologi Bursa Malaysia (KLTEC) dan turut merangkumi premium ESG sebanyak 6%.

 

Suku ketiga dijangka lebih kukuh

RHB menjangkakan PATAMI teras 3Q25 Kelington akan berada antara RM35 juta hingga RM40 juta, meningkat 9% hingga 23% secara sukuan dan tahunan (QoQ/YoY), disokong oleh pendapatan bermusim yang lebih kukuh.

 

Segmen perkhidmatan kejuruteraan termaju, yang menyumbang 70% kepada hasil 1H25, dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan sumbangan lebih tinggi daripada operasi di Singapura dan Malaysia yang dijangka mengimbangi kelemahan dari China.

 

Dalam masa sama, perniagaan gas industri dijangka terus stabil berikutan permintaan berterusan terhadap LCO₂, walaupun sedikit lemah berbanding tahun lalu disebabkan penurunan jualan gas khas dan pendapatan projek.

 

Menurut RHB, Kelington dijangka mengumumkan keputusan bagi 9M25 pada 24 November, diikuti sesi taklimat pelabur keesokan harinya.

 

RHB berkata, dalam taklimat baru-baru ini, pengurusan Kelington memaklumkan tender bagi kilang kedua di Jerman, hasil usaha sama dengan foundri terbesar Taiwan, bakal dikecilkan dengan sebahagian kerja diberikan kepada kontraktor lain.

 

Walaupun nilai tender tersebut dijangka menurun kepada sekitar RM300 juta hingga RM400 juta, potensi ini dijangka diimbangi oleh tender baharu di India yang berpotensi mencecah RM1.4 bilion, hasil pelaksanaan konsep “offset manufacturing”.

 

Bagaimanapun, keputusan beberapa tender dijangka tertunda ke suku pertama atau separuh pertama 2026 (1Q/1H26).

 

Namun, buku pesanan semasa lebih RM1 bilion setakat akhir September dilihat mampu menjamin aliran kerja kukuh sehingga FY27F, dengan tempahan baharu tahun ini melebihi RM1.1 bilion.

 

Usaha sulung hidrogen hijau bakal dimeterai

Dalam perkembangan lain, Kelington dijangka menandatangani perjanjian usaha sama rasmi dengan Worldwide Energy menjelang akhir November bagi projek pengeluaran hidrogen hijau (H₂O), susulan MoU yang dimeterai pada 10 September lalu.

 

Kelington akan membina hab pengeluaran 2MW menggunakan loji kuasa hidro kecil di Batang Kali, dengan pengeluaran awal dijangka bermula pada separuh kedua 2026 (2H26) pada kadar 200 meter padu sejam.

 

SKS Coachbuilders, yang turut menjadi sebahagian daripada MoU tersebut, akan menjadi pembeli awal hidrogen hijau bagi armada bas berkuasa hidrogen.

 

Selain itu, Kelington juga sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Sarawak mengenai projek hidrogen hijau serupa serta pengeluaran gas khas lain. - DagangNews.com