Kelantan, negeri tertinggi mohon Rumah Mesra Rakyat - KPKT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelantan, negeri tertinggi mohon Rumah Mesra Rakyat - KPKT

Rumah Mesra Rakyat
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept – Kelantan menjadi negeri tertinggi yang membuat permohonan untuk memiliki Rumah Mesra Rakyat (RMR)  setakat ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

 

Beliau berkata, sejak tahun 2002, lebih 11,000 unit RMR telah dibina di Kelantan manakala di Terengganu, jumlahnya melebihi 10,200 unit.

 

“RMR bernilai RM75,000 dengan subsidi daripada kerajaan sebanyak RM20,000 dan pemilik hanya perlu membayar jumlah sebenar RM55,000.

 

 

 

 

 

 

“Ia dibayar secara ansuran bulanan sebanyak RM300 dalam tempoh 16 tahun.

 

“Rumah itu dibina dengan tiga bilik khas untuk rakyat yang berpendapatan RM5,000 ke bawah namun syaratnya mesti memiliki tanah untuk tapak rumah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah RMR kepada 11 pemilik dan sijil penghargaan kepada sembilan kontraktor di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, Kemaman baru-baru ini.

 

Beliau berkata, pembinaan rumah tersebut adalah  tanda keprihatinan kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas kepada rakyat berpendapatan rendah.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 5,450 unit RMR akan dibina menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara pada tahun ini yang melibatkan peruntukan RM504 juta.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina dan 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor. 

 

Aiman Athirah berkata, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR.

 

 

 

 

 

 

"Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan. 

 

"Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan," katanya. - DagangNews.com