KUALA LUMPUR 6 Nov – Kelantan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.43 bilion dengan anggaran defisit sebanyak RM86.2 juta.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, jumlah defisit itu berkurangan sebanyak RM6.82 juta atau 7.33% berbanding RM93.02 juta pada tahun 2025.
Beliau berkata, pengurangan itu dicapai melalui pelarasan semula peruntukan di bawah Wang Terkanun, serta penyusunan semula pinjaman kerajaan negeri yang kini diuruskan melalui Kumpulan Wang Amanah Pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kawalan fiskal, tetapi turut memperkukuh tadbir urus kewangan kerajaan negeri bagi memastikan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan awam.
“Daripada RM1.43 bilion Belanjawan 2026 itu, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM327.61 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan,” katanya.
Beliau membentangkan belanjawan bertemakan “Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat, Negeri Rahmat” pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Anggaran hasil negeri pada tahun 2026 dijangka sebanyak RM1.02 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM19.24 juta atau 1.93% berbanding anggaran hasil pada tahun 2025 yang berjumlah RM997.26 juta.
Beliau berkata, anggaran hasil adalah meliputi Hasil Cukai sebanyak RM260.8 juta, hasil bukan cukai (RM332.99 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM422.71 juta).
“Peningkatan hasil cukai sebanyak 13.14% disumbangkan oleh sasaran kutipan cukai tanah 100% atau bersamaan dengan RM104.99 juta, sasaran 80% tunggakan cukai tanah (RM54.57 juta) dan hasil baharu di bawah Jabatan Perhutanan Negeri, iaitu cukai hasil hutan yang lain sebanyak RM3.6 juta yang telah dikutip mulai pertengahan tahun 2025,” katanya.
Belanjawan kali ini menggariskan empat teras iaitu Pembelaan dan Pemberdayaan Rakyat, Keterjaminan Makanan dan Kemampanan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Negeri dan Pembangunan Islam, Pendidikan dan Modal Insan.
Tambahnya, bagi tahun 2026, anggaran perbelanjaan mengurus kerajaan negeri dijangka berjumlah RM1.1 bilion, berbanding RM1.09 bilion pada tahun 2025.
“Anggaran ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM12.42 juta, selaras dengan langkah kerajaan negeri untuk mengoptimumkan perbelanjaan, memperkukuh pelaburan strategik serta memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan penuh berhemah dan berkesan.
“Daripada jumlah tersebut, Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM1.06 bilion, manakala Perbelanjaan Tanggungan adalah sebanyak RM40.73 juta,” katanya.
Tambahnya, anggaran perbelanjaan pembangunan pula ialah sebanyak RM327.61 juta, iaitu 22.9 % daripadajumlah keseluruhan Belanjawan 2026.
“Jumlah itu menurun sedikit berbanding RM361.33 juta pada tahun 2025. Penyusutan sebanyak RM33.72 juta ini adalah hasil daripada pelarasan dan penyusunan semula anggaran berdasarkan unjuran keperluan tunai sebenar projek, khususnya bagi projek di bawah peruntukan langsung kerajaan negeri serta pinjaman Kerajaan Persekutuan.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan perbelanjaan pembangunan lebih tersusun, menepati keutamaan semasa serta memfokuskan kepada projek berimpak tinggi yang memberi manfaat terus kepada rakyat dan ekonomi negeri,” katanya.- DagangNews.com








