KUALA LUMPUR 14 Mei – Pantech Global dilihat berada dalam kedudukan kukuh untuk memanfaatkan kitaran kenaikan harga susulan kekangan bekalan global, disokong oleh gangguan rantaian bekalan keluli serta peningkatan kos tenaga, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata situasi semasa mencerminkan fasa ‘supply-driven upcycle’ iaitu kenaikan harga yang lebih tinggi didorong oleh kekangan bekalan berbanding lonjakan permintaan yang mewujudkan persekitaran harga yang lebih menyokong pemain industri tertentu.
“Dalam keadaan ini, Pantech Global dijangka menikmati peningkatan harga jualan purata (ASP), disokong oleh ketidakseimbangan bekalan-permintaan yang berterusan dalam rantaian nilai keluli dan paip industri.
“Pelanggan pula terpaksa berhadapan pilihan pembekal yang lebih terhad akibat pengurangan kapasiti pengeluaran di beberapa rantau utama.
“Struktur harga berasaskan kos tambahan juga membolehkan syarikat memindahkan kenaikan kos input kepada pelanggan, walaupun pelarasan harga berlaku dengan sedikit kelewatan dalam rantaian bekalan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Keadaan ini menyokong potensi pengembangan margin keuntungan apabila momentum kenaikan ASP menjadi lebih stabil dalam pasaran global.
Pengurangan persaingan serantau turut menjadi faktor penting, apabila beberapa pengeluar di Asia berdepan tekanan kos tenaga dan gangguan operasi, sekali gus mengurangkan intensiti persaingan dalam pasaran eksport.
Dalam masa yang sama, RHB Research berkata model perniagaan berorientasikan eksport memberi kelebihan kepada Pantech Global untuk merebut peluang daripada ketidakseimbangan bekalan global, khususnya dalam sektor minyak dan gas (O&G), petrokimia dan infrastruktur.
“Sektor berkaitan turut menunjukkan permintaan yang kekal stabil walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, sekali gus menyokong aliran tempahan syarikat dalam jangka sederhana,” katanya.
Dari sudut prestasi kewangan, Pantech Group Holdings mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun pada FY26, namun keuntungan bersih teras susut 15.6 peratus berikutan tekanan margin dan peningkatan kos operasi.
Penurunan margin tersebut dipengaruhi oleh ASP yang lebih lemah dalam segmen pasaran umum serta kenaikan perbelanjaan operasi, meskipun kesan tarif Amerika Syarikat membantu mengimbangi sebahagian tekanan hasil.
Dari segi kunci kira-kira, kumpulan kekal berada dalam kedudukan stabil dengan hutang bersih sederhana sekitar RM23.9 juta, disokong oleh paras tunai yang masih kukuh.
RHB turut menyatakan syarikat itu menyasarkan nisbah pembayaran dividen antara 40 hingga 50 peratus, disokong oleh rekod agihan stabil Kumpulan Pantech yang berpotensi menyokong aliran pulangan kepada pemegang saham.
Dari sudut penilaian, saham ini dinilai pada 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27F, iaitu sekitar +1 sisihan piawai di atas purata lima tahun Kumpulan Pantech, mencerminkan premium terhadap prospek margin dan ketahanan pendapatan yang lebih baik.
Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk turun naik harga keluli global, pendedahan kepada risiko pertukaran asing terutamanya dolar AS, serta kebergantungan kepada satu pembekal utama bahan mentah yang menyumbang sebahagian besar pembelian kumpulan. - DagangNews.com








