Kawan Renergy optimis permintaan meningkat susulan kenaikan tarif elektrik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kawan Renergy optimis permintaan meningkat susulan kenaikan tarif elektrik

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Penyedia penyelesaian kejuruteraan, Kawan Renergy Bhd (Kenergy) optimis dengan prospeknya dan dapat mencapai sasaran tahunan syarikat susulan kenaikan tarif elektrik bermula hari ini.

 

Pengarah Urusan Kenergy, Lim Thou Lai berkata, keyakinan itu juga berdasarkan sokongan daripada buku pesanan sedia ada yang bernilai RM92.1 juta setakat 30 April 2025.

 

Katanya, peningkatan tarif elektrik dijangka menjadi pemangkin kepada permintaan terhadap penyelesaian tenaga kos efektif dalam kalangan pemain industri.

 

"Dengan tarif elektrik yang dijangka meningkat tahun ini, kami melihat peluang besar apabila syarikat-syarikat mula mencari strategi jangka panjang untuk menguruskan kos tenaga," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Lim, Kenergy berada dalam kedudukan kukuh untuk memenuhi permintaan yang dijangka meningkat menerusi kerjasama strategik dengan penyedia teknologi global bagi menawarkan penyelesaian kuasa menyeluruh.

 

Tambahnya, kecekapan kos yang ditawarkan kini semakin menarik, khususnya bagi pengguna tenaga tinggi seperti pusat data dan syarikat utiliti.

 

"Bagi suku kedua berakhir 30 April 2025 (2QFY25), Kenergy mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 39.5% kepada RM30.95 juta berbanding RM22.19 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

"Keuntungan bersih turut meningkat 11.2% kepada RM4.88 juta daripada RM4.39 juta.

 

"Pertumbuhan ini disokong oleh sumbangan kukuh daripada segmen peralatan proses industri dan loji proses, yang masing-masing menyumbang RM15.8 juta (51.1%) dan RM8.2 juta (26.5%) kepada jumlah hasil," katanya.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 2025 (1H25), pendapatan Kenergy meningkat 43.1% kepada RM60.28 juta daripada RM42.13 juta dalam 1H24.

 

Selain itu, keuntungan bersih pula melonjak 14.2% kepada RM9.81 juta daripada RM8.6 juta sebelumnya.

 

Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga telah mengumumkan kadar tarif asas elektrik naik kepada 45.4 sen setiap kilowatt-jam (kWh) berbanding 39.95 sen sebelum ini. 

 

Kadar baharu berkenaan akan berkuat kuasa mulai hari ini hingga akhir 2027. - DagangNews.com