KUALA LUMPUR 11 Sept - BIMB Research mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap prospek jangka pendek syarikat pengeluar kondom, Karex Berhad berikutan ketidaktentuan kadar pertukaran asing serta peningkatan kos buruh.
Namun begitu, firma penyelidikan itu menjangkakan momentum keuntungan akan lebih kukuh bermula suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), didorong oleh pertumbuhan segmen kondom sintetik nitril.
Dalam nota penyelidikan terbaharu, BIMB Research menekankan segmen tersebut sebagai pemangkin utama pemulihan keuntungan jangka sederhana, disokong oleh peluasan kapasiti pengeluaran, inovasi produk berterusan serta margin yang semakin baik.
“Pada tahap penilaian semasa, Karex diniagakan hampir pada julat terendah nilai wajarnya. Dengan ketiadaan pemangkin segera, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ sambil meletakkan kaunter ini dalam senarai pemantauan,” kata firma penyelidikan itu.

Pada harga 78 sen sesaham, Karex bernilai 1.8 kali nisbah harga kepada nilai buku — lebih rendah berbanding rakan sejawat antarabangsa seperti Reckitt Benckiser Group Plc (4.9 kali) dan Church & Dwight Co Inc (6.2 kali).
Di sebalik tekanan, Karex menegaskan bahawa kondom nitril menawarkan kecekapan kos yang lebih tinggi dengan margin keuntungan kasar melebihi 50%.
Bagi merebut permintaan global yang semakin meningkat terhadap alternatif bukan lateks, syarikat merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada enam kepada 16 barisan menjelang FY26.
Tarif Amerika Syarikat
Walaupun berdepan tarif berterusan di Amerika Syarikat, Karex masih berdaya saing. Eksport dari Malaysia dan Thailand berdepan tarif sebanyak 19% — jauh lebih rendah berbanding 30% dan 50% yang dikenakan terhadap pesaing dari China dan India.
Penganalisis percaya kejayaan melaksanakan rancangan peluasan ini mampu membuka laluan kepada pemulihan mampan, sekali gus meletakkan Karex pada kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada perubahan keutamaan global ke arah produk bukan lateks. - DagangNews.com








