KUALA LUMPUR 6 April - Sebuah kapal tangki membawa minyak mentah ke Pengerang, Johor dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz yang kini ditutup susulan perang antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
Agensi berita Reuters melaporkan kapal tangki Ocean Thunder itu membawa minyak mentah dari Iraq.
Berdasarkan data LSEG dan Kpler, kapal tangki itu membawa kira-kira 1 juta tong minyak mentah Basrah Heavy telah berlepas pada 2 Mac lalu dan dijangka tiba di Pengerang, Johor pada pertengahan April.
"Kapal tersebut dilaporkan disewa oleh Petco, unit kepada syarikat minyak negara Petroliam Malaysia Bhd (PETRONAS), dan merupakan antara tujuh kapal berkaitan Malaysia yang diberikan kebenaran oleh Iran untuk melalui laluan strategik itu," kata sumber kepada agensi berita itu.
Usaha Reuters mendapatkan pengesahan Kementerian Luar dan PETRONAS bagaimanapun tidak berjaya.
Perkembangan itu hadir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bahawa Iran bersetuju membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz hasil rundingan dua hala dengan pihak berkuasa negara berkenaan.
Malah, Menteri Luar turut mengesahkan sebelum ini terdapat tujuh kapal yang dikaitkan dengan syarikat Malaysia seperti Petronas, Vantris Energy Bhd dan MISC Bhd yang sedang menunggu kelulusan untuk melalui laluan tersebut.
Sebelum ini, Iran bertindak menutup Selat Hormuz — laluan yang mengendalikan kira-kira 20% aliran minyak dan gas asli cecair (LNG) global — sebagai reaksi terhadap serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel pada akhir Februari lalu.
Bagaimanapun, negara itu kemudian memberi kelonggaran dengan membenarkan kapal-kapal tertentu untuk meneruskan pelayaran, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kapal antarabangsa termasuk kapal tangki kendalian Oman, kapal kontena milik Perancis dan kapal gas milik Jepun dilaporkan telah berjaya melalui selat tersebut dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Kerajaan Malaysia sebelum ini turut memaklumkan kapal berkaitan Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan sebarang bayaran tol.
Iran sebelum ini membayangkan akan mengenakan caj terhadap penggunaan laluan tersebut pada masa hadapan. - DagangNews.com








