Kapal perang usang jejaskan tahap siap siaga operasi TLDM pertahan kedaulatan perairan negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapal perang usang jejaskan tahap siap siaga operasi TLDM pertahan kedaulatan perairan negara

Armada TLDM ketika dalam sesi latihan - Gambar TLDM
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 AprilTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berdepan cabaran kritikal isu aset usang termasuk kapal perang lama, menurut Panglimanya, Laksamana Tan Sri Dr Zulhemly Ithnain.


Beliau memberi peringatan yang situasi tersebut dikhuatiri menjejaskan tahap kesiapsiagaan operasi dan keupayaan tempur organisasi berkenaan dalam menghadapi ancaman keselamatan serantau semakin rumit.


Justeru beliau berkata, tekanan terhadap penyelenggaraan aset serta keperluan operasi yang semakin tinggi menuntut pendekatan lebih strategik bagi memastikan armada kekal pada tahap optimum.

 

 

 

 


“Selain itu, persekitaran geo-strategik kini semakin kompleks dan dinamik, dan TLDM perlu terus relevan serta berupaya menyesuaikan diri dengan ancaman semasa agar tidak ketinggalan,” katanya.


Teks ucapan perutusan oleh Zulhelmy itu dibacakan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhamad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak, hari ini.


Ujar beliau, landskap geopolitik global tidak menentu termasuk konflik di rantau Eropah Timur, Timur Tengah dan Laut China Selatan, memerlukan tahap kesiapsiagaan tinggi daripada TLDM sendiri.


Selain isu aset usang, ia berdepan tekanan keperluan operasi berterusan termasuk penyertaan dalam latihan berskala besar, yang memberi kesan kepada perancangan atur gerak kapal dan aset sokongan.


"Situasi ini meningkatkan keperluan kepada aspek penyelenggaraan secara intensif, sekali gus memberi cabaran besar kepada keupayaan logistik dan sumber aset yang sedia ada," tambah Zulhelmy.


Bagi mendepani cabaran tersebut, TLDM jelas beliau, akan memberi tumpuan kepada empat teras utama yang digariskan kepimpinan tertinggi, antaranya memastikan kesiagaan armada sebagai keutamaan.


Organisasi itu turut memperkasa pelan transformasi TLDM '15to5', di samping mengukuhkan integrasi serta sinergi antara angkatan, dam memperteguhkan pengurusan sumber manusia pada sepanjang masa.


Pendekatan secara bersepadu itu tegas Zulhelmy, bertujuan memastikan TLDM sentiasa mampu dalam melaksanakan peranan mempertahankan kedaulatan perairan negara secara berkesan tanpa kompromi.


"Pada masa sama, TLDM sedang melalui proses transformasi daripada angkatan yang berasaskan aset sederhana kepada kekuatan maritim setanding dengan negara maju di rantau Asia Tenggara," ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Usaha berterusan tersebut tambahnya, dilihat penting bagi memastikan kesiapsiagaan dalam tempoh jangka panjang, terutama dalam menghadapi ancaman keselamatan maritim yang semakin mencabar luas.


Secara keseluruhan, isu kapal perang usang menjadi peringatan jelas pemodenan aset bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan demi memastikan keselamatan perairan negara terpelihara. - DagangNews.com