KUALA LUMPUR 4 Nov - Kapal peronda bekas Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) Cutter Steadfast yang kini milik Maritim Malaysia (APMM) selamat tiba di tanah air setelah belayar selama 49 hari dari Amerika Syarikat (AS)
Aset terpakai berusia 56 tahun ini bakal menyertai kapal-kapal APMM bagi menjadi nadi baharu penguatkuasaan dan pengawasan maritim negara.
Kapal peronda jarak sederhana ini selamat tiba di perairan Perak semalam selepas menempuh pelayaran sejauh lebih 10,000 batu nautika dari Baltimore, AS.
Ia mencatat rekod sebagai penghantaran kapal terjauh dalam sejarah APMM sejak penubuhannya dua dekad lalu.

Difahamkan, kapal Ex-USCG Cutter Steadfast akan diberi nama dan nombor kapal baharu sesuai dengan tradisi APMM.
Kapal ini dijangka ditempatkan di Sabah bagi memperkukuh keupayaan operasi jarak jauh khususnya di Laut China Selatan untuk rondaan penguatkuasaan.
Sementara itu APMM dalam kenyataan memaklumkan, majlis sambutan ketibaan kapal Ex-USCG Cutter Steadfast akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah di Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Klang hari ini.
Menurut kenyataan itu, pelayaran jauh kapal tersebut bukan sahaja menguji ketahanan aset malah membuktikan kecekapan dan kesiapsiagaan tinggi kru APMM.
“Kapal diketuai Komander Maritim Mohd Fahimi Omar bersama 49 kru telah berlayar merentasi Lautan Atlantik, Laut Mediterranean, Laut Merah, Laut Arab, Lautan Hindi dan Laut Andaman.



“Kapal juga singgah di lima pelabuhan antarabangsa bagi urusan teknikal dan logistik termasuk di Ponta Delgada, Portugal, Sauda Bay Greece, Port Said Mesir, Doraleh Djibouti dan Colombo di Sri Lanka.
“Pegawai dan kru APMM membuktikan keupayaan mengharungi pelayaran antarabangsa yang kompleks serta mencabar, termasuk perubahan cuaca ekstrem dan cabaran teknikal di laut lepas,” ujar kenyataan tersebut.
Pada 6 September lalu, kapal Ex-USCG Cutter Steadfast diserahkan secara rasmi kepada Malaysia di Waterfront Operation Training Center (WOTC), Baltimore, AS.
Kapal yang ditauliahkan pada 1968 dan telah berkhidmat dengan cemerlang selama 56 tahun.
Kehadiran kapal ini dalam armada Maritim Malaysia diharap mampu memperkukuh keselamatan maritim negara.



Penerimaan Ex-USCG Cutter Steadfast sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama erat Malaysia dan AS khususnya antara APMM dan USCG.
Aset baharu ini meningkatkan keupayaan APMM dalam memastikan keselamatan zon maritim negara, selain memperluas ruang kerjasama kedua-dua negara dalam aspek latihan, pertukaran teknikal serta pembangunan kapasiti.
Dalam pada itu, APMM dijangka menerima sebuah lagi kapal USCG yang telah dilucutkan tauliah serta peruntukan sebanyak AS$7 juta (RM29.4 juta) di bawah program Dana Ketenteraan Asing (FMF).
Penyerahan kapal itu yang masih tertakluk kepada kelulusan Kongres dilihat satu lagi lonjakan keupayaan APMM yang memerlukan aset-aset tambahan. - DagangNews.com








