BUKIT MERTAJAM 14 Sept - Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan agar syarat kelayakan bagi menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dikaji semula, supaya penerima yang mengalami kenaikan gaji masih layak menikmati bantuan tersebut.
Menurutnya, meskipun pendapatan individu meningkat, sebahagian penerima masih memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan.
“Saya ambil maklum ada penerima yang dahulu menerima STR, tetapi kerana mereka bekerja dan ada kenaikan gaji, had kelayakan Rahmah itu perlu dilihat semula.
“… mungkin saya mahu cadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji perkara ini memandangkan terdapat peningkatan gaji,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi dua keluarga di bawah program Ziarah Kasih Komuniti MADANI di Kubang Semang, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan.
Terdahulu, Fahmi menziarahi remaja orang kurang upaya (OKU), Arnisya Roslan, 14 tahun, serta Yusnizam Mohammed Yusop, 42 tahun, yang menghidap penyakit kencing manis.
Program Ziarah Kasih Komuniti MADANI merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan memerlukan selain meninjau secara langsung masalah yang dihadapi rakyat. - DagangNews.com








