KUALA LUMPUR 13 Mei – ECM Libra Group Berhad mencatatkan prestasi kukuh apabila pendapatan naik kira-kira 11% kepada RM10.47 juta bagi tempoh suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Peningkatan hasil ini dipacu prestasi memberangsangkan dalam segmen hospitaliti, yang menyaksikan kadar penghunian hotel adalah lebih tinggi serta penambahbaikan kadar purata bilik penginapan.
Pertumbuhan positif itu secara langsung melonjakkan keuntungan bersih kepada RM1.46 juta, iaitu peningkatan ketara 546% berbanding RM0.23 juta dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Selain faktor hospitaliti, prestasi ini turut disokong oleh perkongsian keuntungan yang lebih tinggi daripada beberapa syarikat bersekutu dan usaha sama (JV)," maklum ECM Libra kepada Bursa Malaysia.
Segmen hospitaliti ujarnya, kekal sebagai pemacu utama hasil apabila naik kepada RM10.45 juta, manakala pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 0.29 sen berbanding hanya 0.05 sen pada tahun lalu.
Syarikat mengesahkan usaha pelupusan Tune Hotel di Pulau Pinang bernilai RM51.89 juta sudah pun diselesaikan sepenuhnya pada 15 April 2026, sekali gus memperkukuhkan kedudukan tunai kumpulan.
Mengenai prospek masa hadapan, ECM Libra menyatakan masih optimis secara berhati-hati ke atas pertumbuhan sektor pelancongan yang dijangka memberi manfaat berterusan kepada portfolio hotel.
"Pengurusan komited meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan prestasi, walaupun berwaspada terhadap cabaran luar seperti tekanan kos dan mata wang asing," katanya. - DagangNews.com








