Kadar caruman KWSP untuk pekerja asing ditetapkan 2 peratus - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar caruman KWSP untuk pekerja asing ditetapkan 2 peratus - PM Anwar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb - Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing di negara ini ditetapkan pada dua peratus, demikian umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

 

Berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), beliau menjelaskan bahawa kadar ini adalah rendah dan turut tidak akan membebankan majikan.


 

“Ia (caruman KWSP) sepatutnya sudah dilaksanakan, namun terdapat kebimbangan ia mungkin meningkat secara beransur-ansur, bermula pada dua peratus, kemudian meningkat kepada empat peratus dan enam peratus.


 

"Itu tidak berlaku, kerana kita tetap mengekalkannya hanya pada dua peratus, yang sangat minimum," jelasnya lagi.


 

Bahkan Anwar menambah, cadangan awal pada asalnya adalah lebih tinggi iaitu 12 peratus, tetapi Kabinet turut mengambil kira pelbagai faktor lain.

 


"Kami telah memutuskan untuk mengekalkannya pada dua peratus buat masa ini, dan akan menilai semula apabila keadaan bertambah baik," tegasnya.


 

Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Anwar mengumumkan kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP.

 


Beliau berkata langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan mereka mengikut piawaian antarabangsa.

 


Pada bulan berikutnya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dasar itu bertujuan untuk meningkatkan ekuiti gaji dan memastikan pekerja tempatan tidak dirugikan.

 


Ia susulan pihak kerajaan berhasrat untuk merapatkan kadar jurang gaji yang didakwa konon tidak seimbang antara pekerja tempatan dan rakyat asing.  - DagangNews.com