KUALA LUMPUR 13 Feb – Kabinet bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata pasukan petugas khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menambah, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet mingguan hari ini sebagai langkah memastikan proses siasatan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
“Kabinet telah membincangkan isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan memutuskan bahawa satu pasukan petugas khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara akan menyiasat dakwaan yang dibangkitkan.
“Selepas siasatan selesai, hasil dapatan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Mengulas sama ada Kabinet membincangkan cadangan menggantung Azam daripada jawatannya, Fahmi berkata perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Kita serahkan sepenuhnya kepada Ketua Setiausaha Negara dan pasukan petugas khas untuk meneliti perkara ini,” ujarnya.
Kontroversi berkenaan tercetus susulan laporan media antarabangsa yang mendakwa kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan kerajaan berkaitan pemilikan saham oleh Azam.
Sebagai respons, Azam menegaskan pemerolehan saham beliau dibuat secara telus dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.
Beliau turut memaklumkan kini tidak lagi memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat dan perkara itu boleh disahkan melalui Bursa Malaysia.
Azam juga telah memulakan tindakan undang-undang terhadap portal berita terbabit atas dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah serta menjejaskan reputasi dan integriti beliau serta SPRM.
Pada 11 Feb lalu, portal sama turut menerbitkan satu lagi laporan yang mendakwa penglibatan SPRM dalam sindiket “mafia korporat”.
Dalam kenyataan terdahulu, Azam menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
Beliau berkata siasatan yang bebas dan telus amat penting bagi mempertahankan integriti peribadinya serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi penguatkuasaan negara. - DagangNews.com








