Kabinet tarik balik RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 untuk penambahbaikan - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kabinet tarik balik RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 untuk penambahbaikan - Fahmi

Pemandangan di Puchong, Selangor - Gambar hiasan oleh Gbase HK
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Jan — Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bagi membolehkan ia ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

 

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen serta UMNO, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan RUU berkenaan lebih menyeluruh dan seimbang.

 

“Jemaah Menteri bersetuju bahawa RUU PSB akan ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan diteliti, dibentangkan, dibincang dan diputuskan di peringkat Jemaah Menteri pada satu tempoh yang akan dimaklumkan.

 

 

 

 

 

 

 

“Seterusnya, RUU itu akan dibentangkan semula dalam bentuk yang baharu di Parlimen,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.

 

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata draf baharu RUU PSB akan dikemukakan semula ke Parlimen dalam bentuk yang lebih komprehensif selepas melalui proses pemurnian sewajarnya, termasuk penelitian di Jabatan Peguam Negara serta perbincangan lanjut di peringkat Kabinet.

 

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memaklumkan UMNO mengemukakan beberapa cadangan berkaitan RUU berkenaan, dengan sebahagian besar daripadanya dijangka dimasukkan ke dalam draf baharu.

 

“Langkah ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh RUU tersebut selepas meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

 

Sehubungan itu, Fahmi berkata proses penambahbaikan berkenaan dijangka mengambil sedikit masa sebelum dimuktamadkan.

 

 

 

 

 

 

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan berkata RUU PSB dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen sesi ini, dengan kementeriannya telah bersedia untuk berbuat demikian, tertakluk kepada aturan mesyuarat Parlimen. - DagangNews.com