KUALA LUMPUR 9 Jun – Barisan kabinet baharu Brunei termasuk Pengiran Muda, Putera Abdul Mateen selesai mengangkat sumpah dalam upacara penuh istiadat di hadapan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Istana Nurul Iman pada 8 Jun 2026.
Sejurus istiadat berakhir, Putera Abdul Mateen turut menzahirkan rasa syukur atas pelantikannya sebagai Menteri Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
“Saya amat berbesar hati atas pelantikan ini dan berterima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kepercayaan dan keyakinan Baginda.
“Saya berharap dapat berkhidmat kepada negara dengan sebaik mungkin, memajukan kepentingan Brunei serta membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk belia dan generasi akan datang,” katanya dalam tulisan di Instagram Baginda.
Terdahulu, istiadat angkat sumpah itu turut dihadiri ahli kerabat diraja termasuk Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Surat pelantikan bagi semua jawatan Kabinet telah dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tadbir Urus Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Raffizanna Pengiran Razali yang juga bertindak dalam kapasiti Pemangku Datuk Penghulu Istiadat.
Dalam upacara istiadat itu, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah mengetuai upacara angkat sumpah dan kekal memegang jawatan sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof dilantik sebagai Menteri Penyelarasan Keselamatan Negara, selain memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
ARTIKEL BERKAITAN: Putera Abdul Malik, Putera Abdul Mateen dilantik sebagai menteri dalam rombakan kabinet Brunei
Datuk Seri Setia Dr Abdul Manaf Metussin dilantik sebagai Menteri Penyelarasan Dasar Ekonomi serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, manakala Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri serta Menteri Penyelarasan Dasar Sosial dan Tenaga Kerja.
Datuk Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tadbir Urus Perkhidmatan Awam), Datuk Seri Paduka Sufian Sabtu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Keselamatan dan Undang-Undang), serta Datuk Seri Paduka Mohamad Azmi Mohd Hanifah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).


Datuk Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah dilantik sebagai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, dan Pengiran Datuk Seri Paduka Mohd Tashim Pengiran Hassan sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
Datuk Seri Setia Dr Mohd Isham Jaafar dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Setia Awang Muhammad Juanda Abdul Rashid sebagai Menteri Pembangunan, Datuk Seri Setia Dr Romaizah Mohd Salleh sebagai Menteri Pendidikan.
Selain itu, Datuk Seri Paduka Mohd Riza Datuk Paduka Mohd Yunos dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, serta Pengiran Datuk Seri Setia Shamhary Pengiran Datuk Paduka Mustapha sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Bagi jawatan timbalan menteri, Pengiran Datin Seri Paduka Zety Sufina Pengiran Datuk Paduka Sani dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Tutiaty Abdul Wahab sebagai Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Dr Nor Imtihan Abdul Razak sebagai Timbalan Menteri Pembangunan, serta Datuk Seri Setia Dr Norarfan Zainal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
Pelantikan barisan Kabinet dan timbalan menteri baharu itu berkuat kuasa pada 4 Jun 2026 seperti yang diumumkan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Hassanal Bolkiah yang disiarkan melalui radio dan televisyen dari Istana Nurul Iman.
Majlis tersebut menandakan permulaan rasmi pentadbiran baharu Brunei bagi penggal empat tahun, dengan barisan kepimpinan yang dijangka terus memperkukuh pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat dalam tempoh akan datang. - DagangNews.com








