Jurang kekayaan, simpanan rendah ancam hari persaraan rakyat – Laporan Institut Penyelidikan PNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jurang kekayaan, simpanan rendah ancam hari persaraan rakyat – Laporan Institut Penyelidikan PNB

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan – Dianggarkan 10% golongan teratas di Malaysia menguasai hampir 60% kekayaan negara manakala 20% golongan terbawah hanya menikmati 6% daripada kekayaan tersebut.

 

Selain itu, separuh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hanya mempunyai simpanan bawah RM10,000 yang cukup untuk menampung kira-kira perbelanjaan selepas tiga bulan persaraan. 

 

Kesemua data tersebut membuktikan sebahagian besar rakyat Malaysia mungkin akan bekerja berpuluh tahun namun tetap bersara tanpa wang yang mencukupi untuk menampung hari tua mereka.

 

Institut Penyelidikan PNB (PNBRI) dalam laporan bertajuk Building Financial Resilience for Malaysians: Economic Security in an Ageing, Middle-Income Economy itu juga memberi amaran bahawa langkah 
mengurangkan kemiskinan dan subsidi kini tidak lagi mencukupi memandangkan negara ini sedang menua dengan cepat.

 

Purata gaji graduan muda hanya RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, sedangkan harga rumah di bandar utama mencecah enam hingga tujuh kali ganda pendapatan tahunan median. 

 

Laporan itu menegaskan Malaysia kini telah memasuki fasa penuaan masyarakat dengan penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat kepada 7.7% pada 2024 dan dijangka mencecah 14% menjelang 2040. 

 

“Peralihan ini berlaku dalam tempoh yang singkat, berbeza dengan negara Eropah yang mengambil 50 hingga 100 tahun. Perubahan demografi ini memberi tekanan besar kepada sistem persaraan, penjagaan jangka panjang dan pasaran buruh, terutama ketika negara masih berada pada status berpendapatan sederhana.

 

“Purata simpanan persaraan rakyat Malaysia masih rendah, dengan hanya 18% lelaki dan 12% wanita berumur 55 tahun mencapai tahap simpanan asas RM240,000 pada 2022. 

 

“Kira-kira satu pertiga tenaga kerja berada di sektor tidak formal, gig atau bekerja sendiri tanpa perlindungan sosial formal. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pertumbuhan gaji sebenar pekerja muda sangat lemah di mana hampir 60% pekerja bergaji di bawah RM4,000 sebulan. 

 

“Ini menyebabkan pengumpulan simpanan dan aset sangat sukar dibuat walaupun terdapat sumbangan KWSP,” menurut laporan itu.

 

Gaji permulaan graduan berkelulusan sarjana menurun 28% antara 1997 dan 2022, manakala graduan ijazah sarjana muda turun 10%. Ini menunjukkan bahawa pendidikan tinggi tidak lagi menjamin peningkatan pendapatan dan aset. 

 

Malaysia telah mengurangkan kadar kemiskinan daripada lebih 50% pada 1970-an kepada kurang 7% hari ini. 

 

t

 

Namun, ini tidak mengubah struktur jurang kekayaan kerana golongan kaya terus menguasai majoriti aset negara. Golongan 20% terbawah hanya memegang kurang 6% daripada pendapatan nasional pada 2022, manakala 20% teratas menguasai 41%.

 

Bahagian buruh dalam KDNK meningkat sedikit dua dekad lepas tetapi menurun selepas pandemik, mengurangkan saluran utama rakyat memperoleh dan mengumpul sumber ekonomi. Ini menunjukkan pulangan kepada modal masih melebihi pulangan kepada buruh. 

 

Struktur subsidi dan perbelanjaan kerajaan memberi tumpuan kepada penggunaan harian, meninggalkan pelaburan jangka panjang dalam kemahiran, simpanan dan pemilikan aset. 

 

Dengan pendapatan kerajaan sekitar 12% KDNK, ruang fiskal untuk program baru sangat terhad.

 

Laporan itu mendedahkan pemilikan aset di Malaysia masih tidak inklusif.

 

“Walaupun pemilikan rumah tinggi, ramai rakyat bergantung kepada hutang dan mempunyai ekuiti tipis. Penyertaan dalam saham, unit amanah, ekuiti koperasi atau perniagaan masih rendah,” katanya.

 

Laporan itu mencadangkan tiga cadangan untuk keselamatan ekonomi: kemampuan (capability), pemilikan (ownership) dan daya tahan (resilience), yang perlu digabungkan dalam sistem sosial dan ekonomi negara.

 

“Keupayaan merangkumi pendidikan, kesihatan, mobiliti, keselamatan dan kemampuan menyesuaikan diri dengan pasaran buruh berubah-ubah. Walaupun pendidikan tinggi meningkat, gaji tidak selari dan pengangguran separuh masa serta kadar gaji tidak setara masih tinggi. 

 

“Pemilikan aset perlu diperluas supaya rakyat dapat mengumpul kekayaan jangka panjang. Skim simpanan berpadanan seperti Child Development Accounts di Singapura dan Individual Development Accounts di AS menunjukkan kerajaan boleh mempercepat pengumpulan aset golongan pertengahan dan bawah,” kata laporan itu.

 

t

 

Skim pemilikan ekuiti pekerja, digunakan di AS dan UK, terbukti meningkatkan produktiviti, kesetiaan pekerja dan persediaan persaraan. 

 

Skim ini boleh disesuaikan di Malaysia untuk memperluas kepemilikan aset secara inklusif. 

 

Daya tahan ekonomi rakyat juga kritikal kerana golongan berpendapatan rendah dan pertengahan terdedah kepada risiko hutang, bencana alam, dan kehilangan pendapatan. 

 

Laporan tersebut berkata perlindungan sosial formal masih terhad kepada sektor pekerjaan rasmi.

 

“Insentif simpanan jangka panjang, akaun persaraan yang terkunci dan pelaburan mikro atau fractional share boleh membantu rakyat menyertai pasaran kewangan tanpa modal awal besar. Ini menambah peluang pemilikan aset dan daya tahan ekonomi. 

 

“Keselamatan ekonomi rakyat bukan sekadar mengurangkan kemiskinan, tetapi membolehkan mereka menampung kejutan, menambah aset dan melabur dalam masa depan,” katanya.

 

Malaysia kini berada di persimpangan penting. Tanpa tindakan untuk memperkukuh kemampuan, pemilikan dan daya tahan rakyat, negara menghadapi risiko penuaan masyarakat dengan simpanan rendah, ketidaksamaan tinggi dan ruang fiskal terhad.

 

Laporan itu menekankan perlunya sistem ekonomi yang bukan sahaja melindungi, tetapi juga menyokong rakyat untuk membina kekayaan dan keselamatan ekonomi sepanjang hayat.- DagangNews.com