Jualan perdagangan borong & runcit Malaysia meningkat 6.6% pada September 2025 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan perdagangan borong & runcit Malaysia meningkat 6.6% pada September 2025 – DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov – Pertumbuhan jualan sektor perdagangan borong dan runcit meningkat 6.6% kepada RM158 bilion pada September 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Daripada jumlah itu, subsektor perdagangan borong mencatatkan RM71.1 bilion, meningkat 6.9% diikuti subsektor perdagangan runcit mencatatkan RM68.9 bilion, meningkat 7.0% manakala subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan RM18.0 bilion, meningkat 4.3%.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, subsektor perdagangan borong mengekalkan trajektori positif dengan pertumbuhan meningkat dalam kebanyakan kumpulan.

 

“Jualan borong barangan isi rumah meningkat 8.2% kepada RM15.1 bilion, disokong oleh permintaan yang tinggi terhadap produk farmaseutikal, minyak wangi, kosmetik, sabun, peralatan dapur dan perabot rumah. 

 

“Jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 7.2% kepada RM14.2 bilion, didorong oleh jualan tenusu, daging, unggas dan telur. 

 

“Sementara itu, jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup meningkat 9.3% kepada RM6.7 bilion, dipacu oleh permintaan minyak sawit dan kayu balak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi subsektor perdagangan runcit, jualan di kedai bukan pengkhususan meningkat 9.9% kepada RM27.1 bilion, disokong oleh pasar raya, pasar mini, gedung serbaneka serta penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100. 

 

Beliau berkata, jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat 5.8% kepada RM14.2 bilion, dipacu oleh permintaan produk farmaseutikal, pakaian dan barang kemas.

 

“Jualan bahan api kenderaan meningkat 7.0% kepada RM6.3 bilion, manakala jualan makanan, minuman dan tembakau meningkat 6.2%.

 

“Subsektor kenderaan bermotor juga mencatatkan pertumbuhan positif dengan jualan kenderaan bermotor meningkat 1.9% kepada RM8.6 bilion, sejajar dengan peningkatan pendaftaran kereta sebanyak 62,598 unit berbanding 61,075 unit pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

 

Jualan komponen dan aksesori meningkat 6.7% kepada RM5.4 bilion, manakala penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor meningkat 9.6% kepada RM2.9 bilion.

 

Bagaimanapun, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal menurun 0.3% kepada RM1.1 bilion.

 

Selain itu, beliau berkata, jualan runcit dalam talian terus mencatat pertumbuhan positif pada September, dengan indeks jualan meningkat 9.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, disokong oleh acara jualan dalam talian 9.9. 

 

“Aktiviti pembayaran digital juga meningkat, dengan transaksi e-dompet meningkat 62.7% kepada RM23.9 bilion. Platform Real-time Retail Payments mencatat transaksi RM307.8 bilion, manakala transaksi FPX meningkat 27.2% kepada RM40.3 bilion, dan transaksi kad kredit serta debit masing-masing berjumlah RM19.0 bilion dan RM12.9 bilion.

 

“Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatat peningkatan 5.4% tahun ke tahun. Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.6%, diikuti perdagangan runcit 4.8% dan kenderaan bermotor 3.3%,” katanya.

 

Bagi pelarasan musim, indeks volum menyusut 0.6% bulan ke bulan.

 

Melihat ke hadapan pada Oktober 2025, sektor perdagangan borong dan runcit dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan perayaan dan penebusan bantuan isi rumah yang berterusan.- DagangNews.com