Jualan MyNews naik 10.5% kepada RM238.4 juta pada 1QFY26 didorong pembukaan lebih banyak cawangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan MyNews naik 10.5% kepada RM238.4 juta pada 1QFY26 didorong pembukaan lebih banyak cawangan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac – Mynews Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2026, disokong oleh pertambahan rangkaian kedai dan permintaan pengguna yang kekal kukuh.

 

Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM238.44 juta, meningkat 10.5% berbanding RM215.87 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mynews berkata pertumbuhan itu didorong oleh pengembangan agresif rangkaian runcit apabila jumlah outlet meningkat kepada 699 berbanding 632 setahun lalu.

 

“Seiring peningkatan jualan, keuntungan kasar turut naik 10.8% kepada RM89.13 juta daripada RM80.43 juta sebelumnya, dengan margin keuntungan kasar bertambah sedikit kepada 37.4%.

 

“Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai susut 3.0% kepada RM6.55 juta berbanding RM6.75 juta, dipengaruhi peningkatan kos operasi.

 

“Untung bersih bagi suku tersebut meningkat sederhana sebanyak 4.4% kepada RM4.61 juta daripada RM4.41 juta, manakala keuntungan boleh agih kepada pemegang saham naik kepada RM4.07 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Perbelanjaan pentadbiran meningkat 22% kepada RM10.93 juta susulan kos tenaga kerja yang lebih tinggi serta perbelanjaan pemasaran dan penyelenggaraan ibu pejabat.

 

Perbelanjaan jualan dan pengedaran turut meningkat 12.4% kepada RM47.62 juta, sejajar dengan pertambahan bilangan kedai dan aktiviti operasi.

 

Selain itu, perbelanjaan lain meningkat kepada RM22.64 juta disebabkan caj susut nilai lebih tinggi berikutan pelaburan berterusan dalam pembukaan dan naik taraf outlet.

 

Dari segi perbandingan suku ke suku, kumpulan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 4.1% berbanding suku sebelumnya, namun keuntungan bersih merosot 17.3% akibat beban cukai yang lebih tinggi.

 

Kedudukan kewangan kumpulan kekal stabil dengan jumlah aset sebanyak RM668.32 juta setakat 31 Januari 2026, manakala baki tunai meningkat kepada RM27.5 juta.

 

Aliran tunai operasi menunjukkan prestasi kukuh apabila menjana RM41.24 juta, mencerminkan keupayaan perniagaan teras dalam menghasilkan tunai.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan berhasrat meneruskan strategi pengembangan rangkaian runcit secara agresif di samping memperkukuh pembangunan produk makanan siap dan meningkatkan kecekapan operasi bagi menyokong pertumbuhan mampan. - DagangNews.com