KUALA LUMPUR 19 Sept – Jualan kenderaan baharu di Malaysia pada Ogos 2025 meningkat 0.6% tahun ke tahun (YoY) kepada 73,041 unit berbanding 72,580 unit pada bulan sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Daripada jumlah itu, jualan kenderaan penumpang naik 0.4% kepada 67,302 unit berbanding 67,016 unit.
MAA berkata, jualan kenderaan komersial pula melonjak 3.1% kepada 5,739 unit berbanding 5,564 unit pada Ogos 2024.
“Jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya, jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 4.2% daripada 70,101 unit pada Julai kepada 73,041 unit pada Ogos.
“Peningkatan itu didorong oleh ketersediaan stok hasil pengeluaran kukuh sebanyak 71,439 unit pada Julai, promosi agresif sempena sambutan bulan Merdeka, selain sumbangan jualan daripada pelancaran model-model baharu,” kata MAA dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, jumlah pengeluaran kenderaan pada Ogos 2025 merosot 7.3% kepada 69,111 unit berbanding 74,556 unit dalam bulan sama tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, pengeluaran kenderaan penumpang susut 7.2% kepada 65,153 unit berbanding 70,214 unit, manakala pengeluaran kenderaan komersial jatuh 8.8% kepada 3,958 unit berbanding 4,342 unit pada Ogos 2024.
MAA menjangkakan momentum jualan pada September akan lebih sederhana, dipengaruhi bilangan hari bekerja yang lebih singkat akibat cuti umum empat hari (sempena Hari Malaysia).
“Bakal pembeli juga mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang pembentangan Belanjawan 2026 yang dijangka menggariskan butiran lanjut mengenai rasionalisasi subsidi petrol,” katanya.- DagangNews.com








