JPJ panggil balik lebih 41,000 kenderaan meliputi Honda, KIA, Ford, Audi, Mercedes-Benz dan MAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JPJ panggil balik lebih 41,000 kenderaan meliputi Honda, KIA, Ford, Audi, Mercedes-Benz dan MAN

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bertindak memanggil semula sejumlah 41,688 unit kenderaan yang terdiri daripada enam jenama buatan asing untuk menjalani pemeriksaan sebelum boleh disahkan selamat dipandu pengguna.
 

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, aktiviti pemanggilan semula itu adalah cukup penting bagi mengelakkan kemalangan boleh berlaku disebabkan oleh faktor kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem kenderaan tersebut.
 

"Setiap pemilik kenderaan terlibat akan dihubungi oleh pihak pengeluar masing-masing bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan dan mereka dimohon untuk membuat perancangan agar dapat dijalankan secepat mungkin," katanya menerusi kenyataan.
 

Kenderaan terbabit yang paling banyak ujarnya ialah model Civic dan CRV keluaran Honda dengan 36,678 unit diikuti model Sorento XM daripada jenama Kia yang berjumlah 4,245 unit serta 291 unit Man TGS model BL SA 18360, 33540, 28440 dan 33480.
 

Tidak ketinggalan ujar beliau ialah sejumlah 288 unit jenama Ford meliputi model Everest, 168 unit Audi daripada model e-tron GT dan RS e-tron GT manakala baki sebanyak 18 unit lagi merupakan jenama Mercedes daripada model Benz dan AMG.
 

Mengulas lanjut, Aedy Fadly memberikan jaminan bahawa mana-mana komponen yang terlibat dengan isu panggilan semula tersebut akan digantikan balik malah kos pemeriksaan ditanggung sendiri oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing.
 

"Pemilik kenderaan terbabit boleh berhubung atau mengunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan masing-masing yang berdekatan untuk mengetahui sebarang maklumat lengkap berhubung proses pemanggilan semula ini," tambah beliau.
 

Pihak JPJ jelasnya lagi, akan turut memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini serta terus komited untuk memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat berjaya melalui pemeriksaan dan disahkan selamat. - DagangNews.com