JPA tinjau di lapangan keperluan pertahanan negara dan gaji anggota tentera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JPA tinjau di lapangan keperluan pertahanan negara dan gaji anggota tentera

Sebahagian daripada ketumbukan 4 Briged Mekanise yang terlibat pada lawatan delegasi JPA ke Kuantan, Pahang.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 10 Feb - Penilaian terhadap cadangan penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilakukan sekali gus mengekalkan kesiapsiagaan pertahanan negara.

 

Ini menerusi lawatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke markas-markas ATM di Kuantan, Pahang bagi mendapatkan gambaran tentang pengoperasian ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

 

Lawatan selama 3 hari bermula 4 Februari lalu, meninjau secara dekat di lapangan Markas Angkatan Bersama (MK AB), Markas Wilayah Laut 1, Markas Wilayah Udara 1 dan Markas Ke-4 Briged Mekanize (MK 4 Bgd Mek).

 

 

Sebagai agensi utama dalam perancangan dan pengurusan perkhidmatan awam, JPA memainkan peranan penting memastikan struktur saraan, kebajikan serta laluan kerjaya dalam ATM selaras dengan keperluan pertahanan negara. 

 

Pesawat

 

Pesawat
Jeneral Tan Sri Mohd Ashgar Khan menerbangkan pesawat Sukhoi SU-30MKM bagi menilai kecekapan taktikal serta prosedur operasi. 

 

Pesawat
PASKAU mempamerkan kelengkapan bagi operasi penerjunan udara.

 

Selain itu, lawatan ini turut memberi peluang kepada JPA untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada warga ATM mengenai cabaran perkhidmatan.

 

Ini termasuk keberkesanan skim saraan sedia ada, serta cadangan penambahbaikan dalam aspek perjawatan dan kenaikan pangkat. 

 

ATM dalam kenyataan yang dikongsikan pada laman Facebook memaklumkan, lawatan delegasi Jawatankuasa Kerja (JKK) SSPA ATM ini bertujuan melihat peranan setiap perkhidmatan.

 

Menurut kenyataan itu, lawatan ini dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu TUDM, TLDM, Tentera Darat dan MK AB.

 

Pesawat
Sebahagian daripada delegasi JKK SSPA ATM semasa melawat Pangkalan Udara Kuantan bertujuan melihat peranan setiap perkhidmatan ATM.

 

 

“Kesemua segmen ini berfokuskan kepada taklimat ‘Battle State’, pameran statik dan demonstrasi dinamik keupayaan.

 

“Lawatan ini dimulakan di Pangkalan Udara Kuantan yang merupakan pusat utama operasi udara di wilayah ini. 

 

“Delegasi diberikan taklimat mengenai kesiapsiagaan aset udara, operasi penerbangan, serta eksesais yang dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara,” ujar kenyataan tersebut.

 

Turut menjadi tumpuan ialah simulasi ‘force down’, yang menyaksikan keupayaan juruterbang tempur dalam melaksanakan pemintasan pesawat musuh. 

 

Kapal
Kapal KD Lekir dan KD Pahang.

 

Kapal

 

Kapal
Meriam utama kapal KD Lekir melepaskan tembakan semasa demonstrasi keupayaan.

 

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan sendiri telah menerbangkan pesawat Sukhoi SU-30MKM bagi menilai kecekapan taktikal serta prosedur operasi standard dalam menangani ancaman udara. 

 

Demonstrasi ini bukan sahaja memperlihatkan tahap profesionalisme pasukan udara, tetapi juga menegaskan kepentingan latihan intensif bagi memastikan kesiapsiagaan yang tinggi.

 

Delegasi turut dibawa melawat fasiliti penyelenggaraan pesawat bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang aspek keupayaan teknikal dan latihan yang disediakan kepada warga TUDM.

 

Jelas kenyataan itu lagi, lawatan ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang pula bagi menilai operasi maritim, pengawasan perairan, serta kesiapsiagaan armada dalam mempertahankan perairan negara. 

 

Kesemua delegasi JPA berpeluang menaiki pelayaran bersama KD Lekir dan KD Pahang bagi melihat secara lebih dekat pengoperasian TLDM semasa di laut.  

 

Kenderaan
Ketumbukan kereta kebal dan kenderaan perisai pasukan 4 Briged Mekanise.

 

Kenderaan
Delegasi JPA diberikan penerangan tentang alat pemusnah dan mematikan ancaman bom.

 

Kenderaan
Demontrasi tempur membabitkan kenderaan perisai Gempita.

 

Seterusnya, delegasi JPA dibawa melawat 4 Briged Mekanise bagi mendapatkan gambaran mengenai operasi tempur, penggunaan aset kereta perisai serta kesiapsiagaan briged dalam menghadapi ancaman darat. 

 

Briged ini mengendalikan aset-aset seperti kereta kebal PT-91M Pendekar, kenderaan perisai Gempita dan Adnan termasuk lain-lain kelengkapan pasukan berkereta perisai.

 

Ketika ini Tentera Darat hanya memiliki sebuah briged pasukan berkereta perisai dan keperluan untuk mempunyai penambahan aset-aset yang lain juga diperlukan.

 

Komitmen JPA dalam memperhalusi dasar perkhidmatan yang lebih mampan diharapkan dapat memperkukuh daya tahan serta kesejahteraan anggota ATM.

 

Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesiapsiagaan pertahanan negara secara menyeluruh. - DagangNews.com