Johor sasar pembinaan 100,000 rumah mampu milik menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor sasar pembinaan 100,000 rumah mampu milik menjelang 2030

Rumah Mampu Milik Johor yang terletak di Kempas Utama
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb – Kerajaan negeri Johor menyasarkan pembinaan 100,000 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030 untuk membantu rakyat negeri itu memiliki kediaman yang selesa dan selamat.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setakat ini lebih 20,000 unit RMMJ telah siap dibina antara 2022 hingga 2025 di bawah agenda Perumahan Kasih Johor yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ). 

 

Beliau berkata program ini dilaksanakan bagi memastikan setiap keluarga di negeri ini memiliki kediaman yang selesa, selamat dan mampu dimiliki.

 

“Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk meringankan beban rakyat dalam pemilikan rumah. 

 

“Antaranya, Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000 diberikan kepada 20,000 penerima bagi menampung kos guaman, pinjaman dan duti setem. 

 

“Selain itu, Bantuan Masuk Rumah sebanyak RM2,000 turut diperluaskan kepada golongan M40 yang membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi mereka yang memiliki tanah sendiri, kerajaan negeri Johor turut menyediakan subsidi membina rumah baharu sehingga RM30,000 bagi membantu golongan tersebut membina kediaman.

 

Selain itu, kerajaan negeri menyediakan rumah percuma untuk keluarga miskin dan miskin tegar serta melaksanakan program baik pulih rumah daif.

 

Tambahnya, penyelenggaraan di PPR, RSK dan flat awam turut dilaksanakan bagi memastikan kediaman sedia ada terus selamat, selesa dan kondusif untuk didiami.

 

“Saya berpeluang menziarahi penerima Rumah Kasih Johor di Kampung Seri Maju Jaya, Machap serta projek baik pulih di Kampung Setia Jaya. Saya dapat melihat sendiri bagaimana dasar ini diterjemahkan dan senyuman penuh syukur pada raut wajah setiap penerima. 

 

“Kerajaan Negeri akan terus merancang inisiatif ini secara strategik dan berkesan,” katanya.

 

Beliau menegaskan setiap inisiatif dirancang supaya manfaatnya dirasai secara adil dan memberi impak menyeluruh kepada seluruh rakyat Johor. 

 

“Semoga setiap usaha dalam agenda perumahan ini terus memperkasa kesejahteraan Bangsa Johor serta memperkukuh Johor sebagai negeri yang maju, stabil dan sejahtera untuk semua lapisan rakyat,” katanya. - DagangNews.com