KUALA LUMPUR 18 Nov – Johor terus mencatat kejayaan sebagai negeri dengan pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2025, dengan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM91.1 bilion.
Kerajaan Negeri optimis bahawa pelaburan yang diluluskan sepanjang 2025 ini akan membolehkan Johor mencapai sasaran RM100 bilion bagi keseluruhan tahun, sekali gus melebihi rekod pelaburan tahun-tahun sebelumnya.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Johor hasil usaha bersama kerajaan negeri dalam mewujudkan tadbir urus yang cekap, perkhidmatan lebih responsif, serta budaya kerja yang semakin profesional.
“Johor menjadi pilihan pelabur bukan sahaja kerana saiz ekonominya tetapi juga kerana komitmen negeri untuk memperbaiki sistem, memperkemas proses dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pelabur.
“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa kemajuan Johor tidak boleh diukur hanya melalui angka pelaburan semata-mata.
“Pembangunan mesti selari dengan pembangunan infrastruktur, peningkatan integriti, disiplin, mentaliti, dan sikap bertanggungjawab di setiap peringkat pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pencapaian ini, Johor optimis bahawa limpahan manfaat pelaburan, termasuk peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, teknologi baharu, dan peluang ekonomi, akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara menyeluruh.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.
“Penghargaan juga kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Invest Johor, pihak berkuasa tempatan serta semua rakan pelaksana yang terlibat dalam memastikan kejayaan ini.
“Pencapaian ini diharap menjadi penyuntik semangat untuk semua pihak terus bekerja lebih kuat bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan rakyat Johor terus terjamin,” katanya.
Sementara itu, Ting Han berkata, pencapaian itu membuktikan peranan Johor sebagai pintu masuk pelaburan serantau yang strategik di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Beliau berkata, prestasi cemerlang ini membuktikan bahawa usaha promosi pelaburan antarabangsa yang dijalankan bukan sekadar misi diplomatik tetapi memberikan manfaat ekonomi yang nyata, besar dan pantas kepada negeri.
Menurutnya, selepas misi pelaburan terkini ke UK dan AS, kerajaan negeri melalui Invest Johor dan agensi pelaburan lain telah merangka beberapa inisiatif susulan.
“Inisiatif ini menumpukan kepada tiga aspek utama: lawatan susulan oleh pelabur, penyertaan dalam forum pelaburan global, dan pengukuhan rangkaian diplomatik pelaburan dengan agensi asing.
“Beberapa langkah utama termasuk lawatan susulan pelabur untuk meninjau tapak dan tenaga kerja tempatan; penyertaan dalam Forum JS-SEZ kali kedua untuk meningkatkan keyakinan pelabur; taklimat dengan pusat MIDA di luar negara bagi menyelaraskan promosi pelaburan; serta misi pelaburan tambahan,” katanya. - DagangNews.com








