Johor Capital jalin kerjasama strategik dengan HGC, Legan Group perkukuh infrastruktur digital & AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Capital jalin kerjasama strategik dengan HGC, Legan Group perkukuh infrastruktur digital & AI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov – Johor Capital Group (JCG) menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan HGC Global Communications Limited (HGC) dan Legan Group (Legan) bagi meningkatkan hubungan digital, infrastruktur data dan inovasi kecerdasan buatan (AI).

 

JCG adalah entiti baharu di bawah Johor Corporation (JCorp) yang ditubuhkan bagi menyalurkan pelaburan ke projek bernilai tinggi dan berimpak besar untuk memperkukuh ekonomi di negeri Johor.

 

MoU dengan HGC membolehkan JCG bekerjasama dalam pembangunan integrasi infrastruktur digital yang merangkumi sistem kabel bawah laut dan darat, stesen pendaratan kabel, pertukaran internet serta teknologi yang menghubungkan pusat data (DCI) di bawah Projek ‘East-West Gateway’ (EWG). 

 

Projek ini bertujuan meningkatkan ketahanan rangkaian dan keberkesanan trafik data antara pasaran serantau, sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital utama di Asia.

 

Sementara itu, MoU dengan Legan Group menetapkan rangka kerja untuk pemilikan, pembangunan dan operasi pusat data generasi baharu dan pusat data AI Malaysia, khususnya di Johor yang sedang berkembang sebagai koridor inovasi data dan AI Asia Tenggara. 

 

Kerjasama ini memberi fokus kepada pembangunan fasiliti sedia ada AI yang menyokong pengkomputeran berketumpatan tinggi serta infrastruktur digital lestari. 

 

Legan Group juga akan menyediakan penyelesaian AI untuk sektor pembuatan, logistik, kewangan dan penjagaan kesihatan, termasuk platform GPU pelbagai jenama, kluster AI-HPC, dan pengurusan fasiliti pintar.

 

Kerjasama ini bertujuan menarik pelabur global, penyedia perkhidmatan awan dan perusahaan AI ke Johor, memperkukuh kedudukan negeri sebagai gerbang ekonomi digital strategik bagi Singapura dan ASEAN.

 

Pengarah Urusan Kumpulan JCG, Datuk Ts. Mahadhir Aziz berkata, kerjasama ini selari dengan inisiatif strategik JCorp untuk melakukan transformasi Johor dan menyokong landskap ekonomi baharu Malaysia melalui teknologi dan inovasi.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Perniagaan Antarabangsa & Infrastruktur Digital HGC, Ravindran Mahalingam pula berkata, kerjasama ini membolehkan pengukuhan keterhubungan data serantau dan memacu transformasi digital merentas sempadan.

 

Bagi Pengasas dan Pengarah Urusan Legan Group, Charles Lee Chung Tak pula, beliau menyifatkan kerjasama dengan JCG membolehkan pembangunan infrastruktur yang akan menyokong revolusi AI di Malaysia, dengan ekosistem data yang lestari dan boleh skala untuk menyokong inovasi, bakat dan pertumbuhan perusahaan di Johor dan Malaysia.

 

Dua MoU ini menekankan peranan JCG dalam menghubungkan teknologi melalui ketahanan ekonomi selaras dengan keutamaan nasional seperti Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia, Strategi AI Nasional dan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan memanfaatkan geografi strategik Johor, sumber tenaga boleh diperbaharui dan integrasi hubungan digital. - DagangNews.com