KUALA LUMPUR 7 Mac — Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama anaknya, Amir Nashrin Johari muncul sebagai blok pemegang saham terbesar dalam Media Prima Bhd selepas pegangan gabungan mereka meningkat kepada 32.96%, sedikit di bawah ambang 33% yang akan mencetuskan tawaran am mandatori (MGO).
Perkembangan itu berlaku susulan pemerolehan 88.33 juta saham Media Prima oleh Amir Nashrin pada Jumaat lalu yang mewakili pegangan sebanyak 7.96% dalam syarikat media berkenaan.
Johari pula memiliki kira-kira 25% kepentingan dalam Media Prima melalui syarikat pelaburannya, JAG Capital Holdings Sdn Bhd.
Dengan peningkatan tersebut, pegangan keluarga Johari kini mengatasi Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memegang 31.9% saham dalam Media Prima.
Dalam masa yang sama, Leasing Corporation Sdn Bhd telah melupuskan keseluruhan pegangan sebanyak 61.38 juta saham atau 5.53% dalam syarikat itu.
Leasing Corporation dimiliki oleh Sisma Vest Sdn Bhd yang dipengerusikan oleh Datin Mariam Prudence Yusof, balu kepada Datuk Syed Ibrahim Syed Mohamed.
Mariam juga merupakan ahli lembaga pengarah CI Holdings Bhd, sebuah syarikat yang dipengerusikan oleh Johari.
Pengaruh keluarga Johari dalam Media Prima bukan sahaja melalui pegangan saham.
Seorang lagi anak beliau, Amir Rasyidi Johari, kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Inovasi kumpulan dan baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi bahagian kandungan dan rangkaian televisyen syarikat itu.
Walaupun beroperasi dalam persekitaran industri media yang mencabar, Media Prima terus mencatatkan keuntungan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (1HFY2026), keuntungan bersih syarikat hampir berganda kepada RM10.49 juta berbanding RM5.39 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Namun begitu, hasil syarikat susut 4.6% kepada RM403.49 juta berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan tersebut didorong oleh langkah pengurusan kos yang agresif sehingga berjaya mengurangkan perbelanjaan operasi, sekali gus mengimbangi kelemahan pertumbuhan hasil.
Selain Media Prima, Johari melalui JAG Capital Holdings turut mempunyai pegangan besar dalam beberapa syarikat tersenarai lain termasuk 62.78% dalam JAG Capital Bhd (dahulunya KUB Malaysia Bhd), 32.96% dalam CI Holdings Bhd serta 20.29% dalam MyNews Holdings Bhd. - DagangNews.com








