KUALA LUMPUR 16 Mac - Sekiranya tawaran pengambilalihan Sunway Berhad tidak diteruskan, IJM Corporation Berhad masih berpluang membuktikan kemampuan membuka sendiri nilai syarikat atau stand-alone value melalui langkah-langkah transformasi yang telah diumumkan sebelum ini.
Pelaksanaan rancangan penyenaraian perniagaan pembinaan, penstrukturan tol dan keluar dari India dijangka memberikan pandangan lebih jelas kepada pelabur tentang potensi sebenar IJM, berbeza dengan nilai tawaran VTO yang lebih rendah.
Dalam konteks ini, pemegang saham IJM berdepan pilihan strategik: menerima tawaran Sunway dan merealisasikan sebahagian nilai segera, atau menolak tawaran tersebut dan memberi ruang kepada syarikat mengembangkan nilai dalaman yang lebih tinggi dalam jangka sederhana hingga panjang.
Analisis terbaharu RHB Investment Bank dan CGS International menunjukkan langkah transformasi IJM bukan sekadar strategi jangka pendek, tetapi usaha untuk memaksimumkan nilai syarikat dan meningkatkan daya tarikan pelabur, selari dengan rancangan pengurusan untuk membuka nilai tersembunyi.
Menurut Penasihat Bebas M&A Securities, tawaran Sunway RM3.15 sesaham “tidak adil dan tidak munasabah”, manakala penilaian Rothschild & Co pula meletakkan nilai IJM antara RM4.80 hingga RM5.63 sesaham – jauh melebihi harga tawaran Sunway.
Penilaian ini menekankan pemegang saham yang menolak tawaran masih berpeluang melihat nilai syarikat meningkat melalui transformasi, berbanding merealisasikan nilai segera yang lebih rendah.
Nilai tersembunyi
CGS International berkata penyenaraian unit pembinaan di Malaysia dan Singapura dalam tempoh 24 bulan akan datang, dengan jumlah tempahan kerja gabungan RM9.6 bilion, dijangka menjadi pemangkin utama membuka nilai syarikat.
Sekiranya margin keuntungan sebelum cukai kembali ke julat normal 6–9% dan keuntungan pra-cukai kembali ke paras FY17-18 melebihi RM200 juta, potensi pertumbuhan nilai IJM akan lebih ketara.
Selain itu, strategi pengurusan termasuk penstrukturan semula konsesi tol tempatan dan pengeluaran sepenuhnya dari pasaran India dijangka meningkatkan kejelasan nilai IJM untuk pelabur dan memantapkan kedudukan syarikat dalam jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com








