Jetson jual GRP Holdings RM15.8 juta, fokus semula kepada segmen automotif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jetson jual GRP Holdings RM15.8 juta, fokus semula kepada segmen automotif

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 April – Kumpulan Jetson Bhd meneruskan pelan penyusunan semula portfolionya apabila melupuskan perniagaan pelekat dan penjagaan kesihatan bernilai RM15.8 juta dalam usaha memperkukuh fokus kepada perniagaan teras komponen automotif anti-getaran.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan ia telah memeterai perjanjian jual beli saham dengan THH Electrical Engineering Sdn Bhd bagi pelupusan keseluruhan pegangan dalam GRP Holdings Sdn Bhd.

 

GRP Holdings Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Jebco Manufacturing Sdn Bhd, merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Jetson.

 

GRP Holdings memiliki dua entiti utama iaitu GRP Sdn Bhd yang terlibat dalam pembuatan serta penjualan pelekat dan bahan pengedap industri (adhesives and sealants), serta Tradebiz Marketing Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan.

 

Menurut syarikat itu, langkah pelupusan ini adalah sebahagian strategi menjadikan kumpulan lebih fokus, tangkas dan berdaya tahan dari segi kewangan.

 

Pelupusan ini turut dibuat selepas kegagalan transaksi sebelum ini yang diumumkan pada Januari 2026, apabila Kumpulan Jetson merancang menjual GRP Sdn Bhd sahaja pada harga RM14.8 juta kepada Ng Boon Hong.

 

Bagaimanapun, perjanjian tersebut ditamatkan pada 10 Mac selepas syarat-syarat terdahulu tidak dipenuhi menjelang tarikh akhir 29 Januari, selain tiada persetujuan lanjut antara pihak terlibat.

 

Syarikat turut memaklumkan bahawa insiden kebakaran pada 29 Januari telah memusnahkan sebahagian besar aset operasi utama dan kilang GRP Sdn Bhd, sekali gus menjejaskan asas komersial transaksi tersebut serta menyebabkan syarikat tidak dapat mengekalkan jaminan dalam perjanjian berkenaan.

 

Bagi transaksi terkini, nilai pelupusan RM15.8 juta terdiri daripada RM3 juta dalam bentuk tunai, manakala baki RM12.8 juta diselesaikan melalui pengambilalihan pinjaman antara syarikat, pendahuluan serta hutang lain yang terhutang oleh Kumpulan Jetson kepada GRP Holdings.

 

Hasil tunai RM3 juta itu akan digunakan dalam tempoh 12 bulan bagi modal kerja, termasuk pembelian bahan mentah, kos pengeluaran, penyimpanan inventori, gaji pekerja, utiliti, logistik serta keperluan operasi lain bagi unit pembuatan Kumpulan Jebco (M) Sdn Bhd dan Jebplus Sdn Bhd.

 

Dalam pada itu, saham Kumpulan Jetson ditutup pada 8 sen pada dagangan Rabu, susut 0.5 sen atau 5.88 peratus, dengan modal pasaran sebanyak RM33.35 juta.

 

Kaunter itu juga telah merosot lebih 33 peratus sejak awal tahun ini, mencerminkan sentimen pasaran yang lemah terhadap prospek syarikat berkenaan selepas beberapa cabaran operasi termasuk gangguan akibat kebakaran kilang. - DagangNews.com