KUALA LUMPUR 28 Okt - Malaysia bakal menerima lagi aset pertahanan dari Jepun menerusi inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) bernilai 3.1 bilion yen (RM85.5 juta) di bawah projek tahun fiskal 2025.
Sumbangan aset ini memperkukuh hubungan keselamatan dua hala kedua-dua negara.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima sebuah kapal sokongan penyelaman (diving support vessel) bersama kelengkapan.
Turut diberikan adalah peralatan bagi menyokong aktiviti pasukan pemerhati ASEAN di kawasan sempadan Kemboja–Thailand.

Walaupun jenis kapal ini tidak dinyatakan tetapi dipercayai kapal yang hendak disumbangkan itu adalah milik sedia ada Pasukan Pertahanan Jepun.
Jepun memiliki 6 buah kapal sokongan penyelaman yang dibina antara tahun 1999 hingga 2002 dengan kapal paling tua adalah YDT 1 dan YDT 2 berusia 25 tahun.
Kapal-kapal ini mempunyai berat 240 tan, panjang kapal 37.5 meter dengan 33 kru.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha Jepun untuk memperkukuh hubungan keselamatan dengan Malaysia di bawah Rakan Strategik Komprehensif yang dipersetujui antara kedua-dua negara.

Ia juga selaras dengan inisiatif Jepun ke arah merealisasikan Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka (Free and Open Indo-Pacific).
Malaysia, sebagai negara pesisir yang menghadap Selat Melaka dan Laut China Selatan memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan laluan perdagangan maritim yang menghubungkan Lautan Hindi dan Asia Timur.
Kapasiti pemantauan dan pengawasan maritim ATM dilihat amat penting bagi kestabilan dan kemakmuran serantau.
Sementara itu, menurut kenyataan Kedutaan Jepun, bantuan ini dijangka akan meningkatkan keupayaan operasi dan keselamatan maritim Malaysia.
Ia juga menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau melalui pengukuhan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.


“Majlis menandatangani dan menukar nota perjanjian itu disempurnakan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Mohd Yani bin Daud,” ujar kenyataan itu.
Pada September lepas, Malaysia telah menerima sumbangan 14 unit dron tanpa pemandu (UAV) dan 7 bot penyelamat dari Jepun di bawah program Official Security Assistance (OSA) bernilai RM12.63 juta.
'
Ia untuk memperkukuh keupayaan ATM terutamanya bagi tujuan pengawasan maritim.

Dron tersebut akan diagihkan kepada Tentera Darat Malaysia (6 unit), Tentera Laut Diraja Malaysia (6 unit), dan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (2 unit
Bot-bot penyelamat pula diterima Pasukan Khas Udara TUDM. - DagangNews.com








