Jentayu rujuk peguam dakwa sebahagian kumpulan mahu EGM sebenarnya bukan ahli syarikat  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jentayu rujuk peguam dakwa sebahagian kumpulan mahu EGM sebenarnya bukan ahli syarikat 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Feb – Jentayu Sustainables Bhd sedang mendapatkan nasihat perundangan selepas mendapati sebahagian daripada individu yang memohon supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bukanlah ahli berdaftar syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia telah menerima notis pada 12 Feb lalu daripada sekumpulan 15 individu yang mendakwa memegang sekurang-kurangnya 10% saham biasa terbitan dan berbayar — paras minimum yang diperlukan untuk memanggil EGM.

 

Namun, hasil semakan lanjut mendapati terdapat maklumat mengelirukan yang diberikan dan sebahagian daripada pihak yang memohon EGM itu sebenarnya bukan ahli syarikat.

 

Sehubungan itu, Jentayu telah melantik peguam Datuk Chong Loong Men bagi menasihati langkah seterusnya termasuk dari segi kesahihan notis yang dikemukakan.

 

EGM tersebut dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya pada 27 Feb dengan 16 resolusi akan dibentangkan, termasuk cadangan untuk menyingkirkan beberapa pengarah sedia ada serta melantik pengarah baharu.

 

Antara resolusi utama ialah penyingkiran beberapa ahli lembaga pengarah berkuat kuasa serta-merta dan pelantikan lapan individu baharu ke dalam lembaga pengarah syarikat.

 

Perkembangan ini dijangka menarik perhatian pelabur memandangkan ia melibatkan potensi perubahan struktur tadbir urus dan kepimpinan syarikat.

 

Setakat rehat tengah hari dagangan Khamis, saham Jentayu kekal tidak berubah pada 36.5 sen, dengan permodalan pasaran sekitar RM163.38 juta. - DagangNews.com