Jati Tinggi raih kontrak TNB bernilai RM79.86 juta bagi pemasangan kabel 275kV ke pusat data di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jati Tinggi raih kontrak TNB bernilai RM79.86 juta bagi pemasangan kabel 275kV ke pusat data di Johor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mac - Jati Tinggi Group Berhad (JTGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (JTHSB) memperoleh kontrak bernilai RM79.86 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah 275kV di Pasir Gudang, Johor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata JTHSB menerima surat setuju terima (LOA) bertarikh 2 Mac 2026 bagi projek “Cadangan Bekalan Pukal 275kV ke sebuah pusat data di Pasir Gudang, Johor Darul Ta’zim”.

 

Kontrak tersebut melibatkan pemasangan kabel bawah tanah litar berkembar 275kV bagi sambungan bekalan elektrik ke pusat data berkenaan, sekali gus menyokong pembangunan infrastruktur digital yang semakin pesat di negeri itu.

 

Tempoh pelaksanaan kontrak adalah selama 270 hari dari tarikh mula yang akan ditentukan kemudian, dan ia berkuat kuasa mulai 2 Mac 2026.

 

Sebagai sebahagian daripada terma kontrak, JTHSB dikehendaki mengemukakan jaminan pelaksanaan dalam tempoh 56 hari dari tarikh LOA serta mengambil perlindungan insurans berkaitan termasuk Insurans Semua Risiko Pembinaan/Pemasangan (CEAR), Pampasan Pekerja, Insurans Kargo Marin, Liabiliti Awam dan Indemniti Profesional sebelum memulakan kerja.

 

Tempoh pemberitahuan kecacatan bagi projek tersebut adalah selama 365 hari.

 

Dari segi kesan kewangan, JTGB menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan, pendapatan sesaham (EPS) dan aset bersih sesaham (NAPS) kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan.

 

Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan pemegang saham utama syarikat. - DagangNews.com