Jakel Group bakal ambil alih 10% pegangan dalam Pharmaniaga, menurut sumber | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jakel Group bakal ambil alih 10% pegangan dalam Pharmaniaga, menurut sumber

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pemborong dan peruncit tekstil, Jakel Group yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, dikhabarkan berminat untuk mengambi alih pegangan sebanyak 10% dalam Pharmaniaga Bhd melalui penempatan saham baharu syarikat tersebut.

 

Selain Jakel Group, pelabur lain yang turut berminat termasuk Great Eastern, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd dan tokoh perkapalan Tan Sri Halim Mohammad, menurut sumber.

 

Sumber berkata, Jakel Medical Sdn Bhd, anak syarikat di bawah Jakel Capital Sdn Bhd, akan menjadi entiti yang melanggan penempatan lebih dua bilion saham Pharmaniaga yang dijangka dapat meraih sehingga RM289.3 juta.

 

 

 

 

 

Penempatan saham tersebut ditetapkan pada harga 13.5 sen seunit, iaitu diskaun sebanyak 6.6% berbanding purata harga pasaran wajaran volum lima hari saham Pharmaniaga sebanyak 14.46 sen setakat 16 Jun.

 

“Secara keseluruhan, jumlah penempatan saham mewakili kira-kira 25% daripada jumlah modal saham terbitan selepas pelaksanaan terbitan hak saham Pharmaniaga,” kata salah seorang sumber.

 

Pharmaniaga kini dalam proses menyelesaikan terbitan hak boleh cagar sebanyak 3.52 bilion saham pada harga 10 sen sesaham berdasarkan 12 saham hak bagi setiap lima saham sedia ada.

 

Saham baharu itu akan diterbitkan selepas pelaksanaan terbitan hak tersebut. Oleh itu, pemegang saham baharu yang membeli saham melalui penempatan ini tidak akan terkesan oleh pencairan yang disebabkan terbitan hak tersebut.

 

Dengan pegangan sebanyak 10%, Jakel Group akan menjadi pemegang saham kedua terbesar dalam Pharmaniaga selepas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). 

 

Pegangan saham langsung dan tidak langsung LTAT akan dicairkan kepada 41.5% selepas penempatan saham, berbanding 54.9% pada masa ini.

 

Pharmaniaga akan menjadi syarikat tersenarai awam kedua di mana Jakel Group memegang kepentingan ekuiti yang besar.

 

Jakel Capital muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam Cypark Resources Bhd pada Januari 2023 dengan pegangan sebanyak 27.33% melalui penempatan swasta dan ia merupakan cabang pelaburan yang teras perniagaannya termasuk pembangunan hartanah.

 

Mohamed Faroz enggan mengulas ketika dihubungi. Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar, pula berkata, penempatan swasta tersebut telah selesai tetapi enggan memberikan butiran lanjut. 

 

“Kami telah menerima minat yang menggalakkan terhadap saham penempatan tersebut dan ia sebenarnya terlebih langgan, yang menunjukkan sokongan kuat daripada pemegang saham sedia ada dan pasaran,” katanya kepada The Edge.

 

Difahamkan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga menunjukkan minat untuk melanggan saham penempatan swasta Pharmaniaga. Bagaimanapun, menurut satu sumber, ia tersebut kemudiannya memutuskan untuk tidak meneruskannya. - DagangNews.com