ITMAX peroleh tambahan kontrak RM79.92 juta sistem lampu isyarat pintar di Iskandar Puteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMAX peroleh tambahan kontrak RM79.92 juta sistem lampu isyarat pintar di Iskandar Puteri

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Mei - ITMAX System Bhd menerusi anak syarikat 65% miliknya, Southmax Sdn. Bhd. memperoleh Perintah Variasi bernilai RM79.92 juta daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi penambahan unit pengawal lampu isyarat pintar di kawasan Iskandar Puteri, Johor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata kontrak tambahan itu adalah sebahagian daripada sistem lampu isyarat pintar sedia ada di bawah MBIP yang dilaksanakan secara langganan perkhidmatan bulanan.

 

Kontrak tersebut mempunyai tempoh 15 tahun bermula 26 September 2023 hingga 25 September 2038, selaras dengan kontrak utama yang sebelum ini bernilai RM111.24 juta.

 

“Perintah Variasi ini melibatkan pelaksanaan unit tambahan pengawal lampu isyarat pintar dengan jumlah kontrak RM79.92 juta, sebagai tambahan kepada kontrak utama sedia ada,” kata syarikat itu.

 

Menurut ITMAX, arahan kerja bagi pemasangan unit tambahan serta perkhidmatan berkaitan akan dikeluarkan oleh MBIP dari semasa ke semasa sepanjang tempoh kontrak.

 

Syarikat itu berkata, lanjutan kontrak turut disertakan opsyen tambahan selama lapan tahun sehingga 24 September 2046, sekali gus memperkukuh keterlihatan pendapatan jangka panjang kumpulan.

 

ITMAX menjangkakan kontrak tambahan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh kontrak berkenaan.

 

Sementara itu Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System Bhd, William Tan Wei Lun berkata, kontrak ini mengukuhkan lagi kehadiran ITMAX di Johor serta mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian lampu isyarat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) syarikat itu.

 

“Selain daripada lampu isyarat konvensional, platform trafik pintar kami membolehkan penyelarasan trafik berasaskan data serta pembuatan keputusan pintar melalui keupayaan simulasi dan pengurusan trafik yang dibangunkan sendiri oleh syarikat,” katanya.

 

Beliau berkata, infrastruktur trafik pintar akan menyokong pertumbuhan bandar, meningkatkan kesalinghubungan serta mempertingkatkan kualiti hidup komuniti setempat, khususnya di Iskandar Puteri sebagai hab ekonomi strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. - DagangNews.com