ITMAX menang kontrak RM603.5 juta dari Majlis Bandaraya Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMAX menang kontrak RM603.5 juta dari Majlis Bandaraya Johor Bahru

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 April - ITMAX System Berhad (ITMAX) menerusi anak syarikatnya, Southmax Sdn Bhd, memperoleh Arahan Tempahan (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata VO berkenaan melibatkan pelaksanaan sistem pengawasan tambahan berasaskan kecerdasan buatan (AI) di sekitar Johor Bahru, merangkumi 15 ciri kecerdasan buatan yang dipertingkatkan.

 

Kontrak tersebut akan berkuat kuasa selama tempoh 240 bulan, sekali gus mengukuhkan aliran pendapatan berulang jangka panjang ITMAX.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, penganugerahan VO itu mencerminkan keyakinan berterusan MBJB terhadap keupayaan syarikat dalam menyediakan penyelesaian bandar pintar pada skala besar.

 

“Perluasan pemasangan CCTV dengan 15 ciri AI canggih akan meningkatkan keupayaan pemantauan masa nyata, kecekapan operasi serta tahap keselamatan awam di Johor Bahru,” katanya.


 

ITMAX

 


Beliau menambah, kerjasama dengan MBJB turut merangkumi pembangunan penyelesaian ‘digital twin’ bagi memperkukuh keupayaan perancangan bandar berasaskan data.

 

Menurutnya, teknologi itu akan memanfaatkan enjin simulasi trafik dan bandar yang dibangunkan secara dalaman oleh ITMAX bagi membolehkan pihak berkuasa meramal serta mengoptimumkan aliran trafik dan senario pembangunan bandar dalam persekitaran maya.

 

Ini sekali gus katanya menyokong proses membuat keputusan yang lebih tepat dan berkesan.

 

"Kami kekal komited untuk menyokong transformasi bandar pintar Johor serta menyampaikan nilai jangka panjang melalui penyelesaian infrastruktur digital bersepadu kami.” ujarnya. - DagangNews.com