KUALA LUMPUR 19 Mac — ITMAX System Berhad memperoleh kontrak bernilai RM26.6 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menyediakan perkhidmatan pengawasan video dengan ciri kecerdasan buatan (AI).
Penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu dikuasakan AI itu berkata, kerja-kerja untuk kontrak tersebut akan bermula pada 15 April 2025 sehingga 14 Oktober 2034.
Di bawah perjanjian itu, ITMAX bertanggungjawab bagi penempatan dan penyelenggaraan rangkaian kamera litar tertutup dengan AI di seluruh kawasan pentadbiran MBSP meliputi ketiga-tiga daerah Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan.
"Kontrak tersebut bermula dengan perkhidmatan pemasangan dan berkaitan yang disediakan pada jumlah kontrak ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang itu sebanyak RM2.6 juta," kata dalam satu kenyataan.
Setelah pemasangan siap katanya, ITMAX akan menyediakan pula perkhidmatan penyelenggaraan secara komprehensif dalam tempoh lapan tahun akan datang, dengan mengenakan yuran bulanan berulang sebanyak RM250,000.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, syarikat itu berbesar hati apabila dipilih oleh MBSP untuk membawa rumusan bandar pintar yang dikuasakan AI ke kawasan Seberang Perai.
"Projek ini meluaskan jangkauan kami di Pulau Pinang sejajar dengan strategi jangka panjang kami menyokong PBT dalam mengguna pakai infrastruktur digital termaju di mana-mana bandar di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur," katanya.
Langkah tersebut jelas beliau, dijangka mampu menambah baik lagi tahap kecekapan teknologi, aspek keselamatan awam dan penggunaan sistem berteknologi terkini dipacu AI dalam bandar.
ITMAX kata William, turut menyediakan rumusan yang bukan sahaja meningkatkan pengurusan bandar secara moden malah memupuk persekitaran bandar yang lebih selamat, bijak dan mampan.
"Dengan portfolio kontrak jangka panjang yang kukuh dan aliran hasil berulang, ITMAX kekal pada kedudukan baik untuk pertumbuhan dan inovasi yang berterusan dalam ekosistem bandar pintar Malaysia," katanya. - DagangNews.com








