KUALA LUMPUR 2 Sept – ITMAX System Berhad terus memperluas jejak parkir pintarnya di Selangor apabila anak syarikat miliknya sepenuhnya, Selmax Sdn Bhd dilantik sebagai pengendali bagi sistem Selangor Intelligent Parking (SIP) di bawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Di bawah perjanjian tersebut, Selmax bertanggungjawab melaksanakan, mengurus dan mengendalikan semua petak parkir yang diwartakan dalam kawasan pentadbiran MPS.
Kontrak itu mempunyai tempoh selama 10 tahun dengan pilihan lanjutan lima tahun, dan dilaksanakan melalui model perkongsian hasil, di mana Selmax berhak menerima 50% daripada hasil kutipan caj parkir dan kompaun.
Pelantikan terbaharu ini menandakan kontrak parkir pintar ketiga ITMAX di Selangor, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan teknologi utama dalam agenda transformasi infrastruktur digital negeri tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, kontrak baharu itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Kumpulan.
“Kami berbesar hati meraih kontrak parkir pintar ketiga di Selangor, sekali gus mengukuhkan lagi peranan kami sebagai pemacu utama transformasi infrastruktur digital negeri,” katanya.
“Parkir pintar bukan sekadar soal kemudahan; ia menjadi asas penting bagi pembangunan bandar pintar secara menyeluruh dengan membolehkan mobiliti bandar berasaskan data, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, serta mempertingkatkan pengalaman orang ramai.
"Seiring dengan usaha Selangor mempercepat agenda pendigitalannya, kami berbangga menyokong visi negeri untuk membina komuniti yang lebih pintar, selamat dan saling berhubung.”
Inisiatif SIP merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Selangor ke arah penerapan bandar pintar, bertujuan memperkemas mobiliti bandar, mengurangkan kesesakan, serta mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam melalui penyelesaian teknologi bersepadu.
Dengan kejayaan terbaharu ini, ITMAX terus mempelbagaikan tawarannya melebihi pemantauan video dan pengurusan trafik kepada penyelesaian mobiliti bandar, sekali gus meletakkannya pada kedudukan strategik untuk merebut peluang pertumbuhan ketika bandar-bandar di Malaysia melaksanakan transformasi digital. - DagangNews.com








