Isu kritikal bekalan air bersih di Sarawak jadi pemangkin prospek utama KKB Engineering, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu kritikal bekalan air bersih di Sarawak jadi pemangkin prospek utama KKB Engineering, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Jan — Isu kritikal bekalan air bersih di Sarawak terus menjadi pemangkin utama kepada prospek KKB Engineering Berhad dalam beberapa tahun yang akan datang, menurut RHB Research.
 

Tambah firma penyelidikan tersebut, kejayaan anak-anak syarikatnya meraih enam kontrak baharu yang bernilai RM80 juta di negeri berkenaan, menggambarkan peluang besar banyak kerja kejuruteraan. 


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.42 sesaham, yang mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 19% serta pulangan dividen diunjur sekitar 3% bagi FY26.


"Kami menilai setakat ini, jumlah kemenangan kontrak tahun semasa KKB bagi FY26 dianggarkan RM292 juta, dengan buku tempahan naik kepada kira-kira RM347 juta," kata RHB Research dalam notanya.  


Kumpulan tersebut pada 20 Januari 2026 memperoleh sejumlah kontrak daripada QC Construction & Engineering, Bumia, EPR (Kuching), Global Rail, Chun Jun Piling dan Citic Construction (Malaysia).


Skop kerja itu katanya, melibatkan pembekalan paip keluli karbon bersalut simen (MSCL), paip keluli lembut, serta kerja fabrikasi dan galvanisasi tiang akses dan tiang segi empat jenis VMISS.


Kontrak-kontrak tersebut jelasnya, dijangka bermula pada suku kedua 2026 dan siap menjelang suku pertama 2027, sekali gus menjadikan ia kontrak kedua KKB hanya dalam tempoh dua minggu pada FY26. 


Artikel berkaitan: KKB Engineering raih enam kontrak bernilai RM80 juta, kukuhkan buku tempahan hingga 2027


"Kami turut menganggarkan kumpulan ini memiliki buku tender semasa sekitar RM600 juta bagi segmen kejuruteraan, pembinaan dan pembuatan, selain peluang tender daripada sektor lain," tambahnya.


Potensi luas tersebut kata RHB Research, termasuk anggaran keseluruhan RM1 bilion dalam kontrak fabrikasi minyak dan gas (O&G), dengan kadar kejayaan diunjur 30% hingga 40% bermula pada 1Q26.


Menurut firma penyelidikan itu lagi, momentum kontrak terkini diperoleh KKB adalah sejajar dengan usaha Sarawak sendiri untuk mencapai liputan bekalan air bersih secara sepenuhnya menjelang 2030.


Kerajaan negeri tersebut menawarkan peruntukan kira-kira RM4 bilion bagi pembangunan sumber air, loji rawatan, sistem agihan, penggantian paip dan inisiatif pemodenan menerusi banyak program.


"Walaupun kontrak baharu itu positif, kami tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan KKB kerana ia masih berada dalam sasaran kemenangan kontrak FY26 sebanyak RM600 juta," katanya.


RHB Research menambah, antara pemangkin penilaian semula saham syarikat berkenaan ialah kemenangan kontrak yang lebih pantas dalam segmen infrastruktur air, termasuk potensi peluang di Sabah.


Bagaimanapun, ia memberi amaran berhubung risiko utama yang kekal kepada faktor kelewatan pengisian semula buku tempahan kumpulan itu yang menjejaskan pendapatan. - DagangNews.com