Iskandar Waterfront City jual tanah 6.65 hektar berharga RM71.55 juta di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Iskandar Waterfront City jual tanah 6.65 hektar berharga RM71.55 juta di Johor Bahru

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb – Iskandar Waterfront City Berhad (IWCity) melalui anak syarikat milik penuhnya, Bayou Bay Development Sdn Bhd (BBDSB) memeterai perjanjian dengan WB Southern Sdn Bhd (WBSB) bagi pelupusan sebidang tanah pajakan berharga RM71.55 juta di Plentong, Johor Bahru.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IWCity berkata tanah pajakan kosong berkeluasan kira-kira 6.65 hektar (16.43 ekar) itu terletak di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Johor Bahru dan mempunyai akses yang baik dari pusat bandar Johor Bahru melalui Jalan Lingkaran Tengah, Jalan Stulang Darat dan Eastern Dispersal Link (EDL).

 

“BBDSB bersetuju menjual manakala WBSB bersetuju membeli tanah berkenaan secara bebas daripada sebarang bebanan, tuntutan dan pertikaian sempadan serta dengan milikan kosong, tertakluk kepada syarat nyata dan tersirat dalam dokumen hak milik tanah.

 

“Harga pelupusan sebanyak RM71.55 juta akan dibayar secara berperingkat, melibatkan deposit 10% berjumlah RM7.16 juta, bayaran kedua 10% sebanyak RM7.16 juta dalam tempoh sebulan selepas perjanjian jual beli dimeterai, serta bayaran akhir 80% atau RM57.24 juta dalam tempoh lima bulan dari tarikh perjanjian.

 

“Sekiranya berlaku kelewatan, pembeli akan dikenakan faedah pada kadar 10% setahun ke atas baki tertunggak,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Perjanjian jual beli itu tertakluk kepada kelulusan atau pengesahan Unit Perancang Ekonomi (EPU). 

 

Berdasarkan nilai buku bersih tanah berkenaan sebanyak RM18.79 juta setakat 30 November 2025, kumpulan menganggarkan keuntungan selepas cukai kira-kira RM28.12 juta daripada pelupusan tersebut. 

 

Nilai pelupusan itu ditentukan berdasarkan rundingan antara kedua-dua pihak, perbandingan harga pasaran semasa bagi hartanah serupa di kawasan sekitar serta susunan komersial sampingan berkaitan cadangan pembangunan tanah tersebut.

 

Hasil pelupusan dicadangkan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan dan cukai berkaitan urus niaga sebanyak RM19.2 juta, pembayaran pinjaman dan faedah bank berjumlah RM8 juta, manakala baki RM44.35 juta akan digunakan sebagai modal kerja.

 

Lembaga Pengarah IWCity berkata pelupusan itu selari dengan strategi kumpulan untuk mengoptimumkan portfolio aset dan struktur modal, di samping memperkukuh kedudukan kewangan serta kecairan. 

 

Tanah berstatus pajakan berdepan risiko penyusutan nilai apabila tempoh pajakan semakin pendek, melainkan pembaharuan dapat diperoleh pada kos yang munasabah.

 

Pelupusan tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan tidak melibatkan sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, oleh pengarah atau pemegang saham utama IWCity. 

 

Urus niaga itu dijangka selesai pada suku ketiga 2026. - DagangNews.com