IPO PSP Energy terlebih langgan 5.87 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO PSP Energy terlebih langgan 5.87 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov – Tawaran awam permulaan saham (IPO) PSP Energy Berhad menerima permohonan luar biasa apabila bahagian awamnya terlebih langgan 5.87 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

IPO PSP Energy dibuka pada harga RM0.16 sesaham melibatkan penawaran 213.8 juta saham baharu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PSP Energy berkata, ia menerima sejumlah 6,670 permohonan membabitkan 367.03 juta saham baharu, melebihi 53.44 juta saham yang disediakan untuk pelabur runcit mewakili kadar langganan 5.87 kali.

 

Untuk bahagian Bumiputera, sebanyak 3,241 permohonan diterima bagi 112.57 juta saham dengan kadar langganan 3.21 kali manakala bagi bahagian bukan Bumiputera pula, PSP Energy menerima 3,429 permohonan bagi 254.46 juta saham, mencatat kadar terlebih langgan 8.52 kali.

 

Selain itu, saham yang diperuntukkan bagi pengarah, pekerja dan individu terpilih berjumlah 48.09 juta saham telah habis dilanggan. 

 

Penempatan persendirian sebanyak 53.44 juta saham untuk pelabur terpilih serta 58.82 juta dan 74.81 juta saham bagi pelabur Bumiputera juga telah habis dilanggan selepas pengagihan semula.

 

PSP Energy berkata, pengumuman rasmi mengenai peruntukan saham kepada pemohon berjaya dijadual dihantar pada 2 Disember 2025.

 

Sebanyak RM12 juta (35.1%) daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi pembelian produk bahan api terutamanya diesel dan minyak gas marin, bagi meningkatkan jumlah jualan.

 


Selain itu, RM1 juta (2.9%) akan digunakan untuk pembelian tujuh lori tangki baharu, bagi menggantikan aset lama dan menambah bilangan lori tangki syarikat. 

 

Baki hasil IPO akan diperuntukkan kepada modal kerja am sebanyak RM1.3 juta (3.8%) dan kos penyenaraian dianggarkan RM4.9 juta (14.3%).

 

Mercury Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama, penjamin dan ejen penempatan bersama manakala AmInvestment Bank Berhad bertindak sebagai ejen penempatan bersama bagi IPO ini. - DagangNews.com