KUALA LUMPUR 4 Feb – Tawaran awam permulaan (IPO) Kee Ming Group Berhad mencatatkan lebihan langganan 54.16 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 Februari 2026.
Menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan, perkembangan positif tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan, rekod pelaksanaan projek, dan prospek pertumbuhan syarikat.
IPO Kee Ming melibatkan 82.88 juta saham biasa, terdiri daripada sebanyak 66.63 juta saham baharu dan 16.25 juta saham sedia ada yang ditawarkan melalui pelbagai saluran, termasuk tempahan awam.
"Ia turut dibuka secara penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera, serta penempatan kepada pengarah, pekerja dan pihak berkepentingan yang lain," kata Kee Ming.
Seramai 9,573 permohonan diterima bagi 896.38 juta saham IPO, dengan bahagian Bumiputera terlebih langganan sebanyak 27.10 kali, manakala bahagian awam lain pula terlebih langganan 81.22 kali.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kee Ming, Ir Liew Kar Hoe berkata, respons positif ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan teknikal syarikat tersebut.
"Mereka optimis dengan rekod pelaksanaan projek dan strategi pertumbuhan jangka panjang kami, serta mengukuhkan komitmen kumpulan ini untuk memperkukuh kapasiti kejuruteraan,” kata beliau.
TA Securities berperanan sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penjamin tunggal, manakala Eco Asia Capital Advisory bertindak sebagai penasihat kewangan bagi IPO ini. - DagangNews.com








