KUALA LUMPUR 21 Jan – ISF Group Berhad, penyedia rumusan paip menyeluruh, mencatat sambutan menggalakkan bagi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad apabila IPO syarikat itu terlebih langgan sebanyak 31.14 kali.
IPO tersebut menyaksikan minat kukuh daripada pelabur runcit dan institusi, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap prospek perniagaan dan hala tuju pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu.
ISF dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 Januari 2026.
Bagi peruntukan 50 juta saham terbitan kepada orang awam Malaysia, ISF menerima sebanyak 11,446 permohonan bagi 1.61 bilion saham dengan nilai RM530.29 juta.
Jumlah tersebut mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 31.14 kali.
Daripada jumlah itu, bahagian awam Bumiputera mencatat 5,159 permohonan bagi 469.58 juta saham, bersamaan kadar lebihan 17.78 kali, manakala bahagian awam bukan Bumiputera menerima 6,287 permohonan bagi 1.14 bilion saham, atau terlebih langgan 44.49 kali.
Selain itu, 15 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan layak dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan turut dilanggan sepenuhnya.
Penempatan persendirian sebanyak 85.3 juta saham terbitan kepada pelabur terpilih juga telah dilaksanakan sepenuhnya.
Penempatan persendirian tambahan melibatkan 35 juta saham terbitan dan 90 juta saham sedia ada kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut dilanggan sepenuhnya.
Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan.
ISF, melalui anak syarikatnya Yeo Plumber Sdn Bhd, terlibat dalam pembekalan dan pemasangan sistem perpaipan bagi premis pengguna akhir serta perpaipan infrastruktur bekalan air dan pembetungan.
Kumpulan itu turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan sistem paip.
Sehingga 9 Disember 2025, ISF mencatat buku tempahan belum dibil bernilai RM120.68 juta, terdiri daripada RM117.47 juta bagi projek perpaipan premis pengguna akhir dan RM3.21 juta bagi projek perpaipan infrastruktur, yang dijangka menyokong keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028.
Pengarah Urusan ISF Jeff Ai Boon Chen berkata sambutan positif terhadap IPO itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap model perniagaan kumpulan.
“Hasil IPO akan digunakan untuk mengembangkan operasi, memperkukuh aktiviti perniagaan sedia ada serta menambah tenaga kerja bagi menyokong projek masa hadapan,” katanya.
Selepas penyenaraian, ISF akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM330 juta berdasarkan 1 bilion saham terbitan pada harga IPO RM0.33 sesaham.- DagangNews.com








