KUALA LUMPUR 21 Nov – Tawaran Awam Permulaan (IPO) Foodie Media Berhad mencatat sambutan luar biasa apabila bahagian awamnya terlebih langgan sebanyak 24.63 kali, menandakan keyakinan kukuh pelabur terhadap prospek syarikat media digital itu.
Menurut Malaysian Issuing House Sdn Bhd (MIH), sebanyak 10,470 permohonan melibatkan 1.14 bilion saham diterima bagi 44.4 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia pada harga IPO 30 sen sesaham.
Daripada jumlah itu, bahagian Bumiputera menerima 3,274 permohonan untuk 312.88 juta saham, mewakili kadar langganan 13.09 kali, manakala bahagian bukan Bumiputera menerima 7,196 permohonan untuk 825.29 juta saham, mencatat kadar terlebih langgan 36.18 kali.
Terbitan 15 juta saham untuk pengarah dan pekerja turut habis dilanggan
ARTIKEL BERKAITAN: Foodie Media diunjur catat pertumbuhan kukuh disokong pangkalan data pengikut besar, kepelbagaian kandungan - Penganalisis
Saham terbitan khas sebanyak 15 juta unit yang diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan kumpulan serta individu yang menyumbang kepada pembangunan Foodie Media juga dilanggan sepenuhnya.
Secara keseluruhan, IPO Foodie Media merangkumi 250 juta saham, terdiri daripada 138 juta saham baharu dan 112 juta saham sedia ada yang ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.
Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penaja Jamin bagi penyenaraian ini.
Institusi itu mengesahkan bahawa keseluruhan 78.6 juta saham terbitan dan 112 juta saham sedia ada bagi penempatan persendirian telah berjaya ditempatkan sepenuhnya.
Foodie Media dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dalam masa terdekat.
Notis peruntukan saham akan dihantar kepada semua pemohon yang Berjaya pada 27 November 2025.- DagangNews.com








