IPO Adnex Group terlebih langgan 3.23 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Adnex Group terlebih langgan 3.23 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac – Tawaran awam permulaan (IPO) Adnex Group Berhad, syarikat penyedia perkhidmatan hiasan dalaman mendapat sambutan memberangsangkan dengan kadar terlebih langgan sebanyak 3.23 kali.

 

IPO Adnex terdiri daripada 90.5 juta saham baru dan 39.5 juta saham sedia ada. Saham ini ditawarkan melalui beberapa kaedah termasuk untuk orang awam Malaysia, pekerja dan pengarah syarikat, serta penempatan khas untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

 

Daripada jumlah permohonan, bahagian orang awam Malaysia lain menerima 2,125 permohonan untuk 85.98 juta saham, menghasilkan kadar terlebih langgan 5.88 kali, manakala bahagian Bumiputera menerima 1,237 permohonan untuk 19.87 juta saham, mencatat kadar terlebih langgan 0.59 kali.

 

t
Kan Wai Chun

 

Pengarah Urusan Adnex, Kan Wai Chun berkata sambutan positif ini adalah pengiktirafan terhadap kualiti kerja, kecekapan projek, dan rekod prestasi syarikat selama lebih 20 tahun.

 

Menurut beliau, dana daripada IPO akan digunakan untuk memperkuat kapasiti operasi, menaik taraf infrastruktur digital, dan meluaskan operasi ke Malaysia Timur serta pasaran antarabangsa terpilih.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank Berhad, Lee Yo-Hunn berkata walaupun pasaran global kini tidak menentu, sambutan yang diterima melalui IPO tersebut menunjukkan pelabur percaya kepada model perniagaan Adnex yang kukuh dan prospek pertumbuhan industri itu di Malaysia.

 

Adnex ditubuhkan pada 2004 melalui anak syarikat Adnex Interior Solution Sdn. Bhd. dan menyediakan perkhidmatan interior fit-out lengkap untuk pejabat korporat, restoran, dan galeri jualan.

 

Syarikat ini mempunyai reputasi kukuh kerana ketepatan masa, kebolehpercayaan, dan kualiti kerja yang konsisten, serta telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat tempatan dan multinasional.

 

Dengan pengumpulan dana IPO ini, Adnex bercadang untuk terus memperkukuh kedudukan pasaran, meningkatkan inovasi, dan menyokong pertumbuhan mampan dalam sektor binaan dan reka bentuk dalaman di Malaysia.

 

Adnex Group Berhad dijadualkan disenaraikan di ACE Market Bursa Malaysia pada 17 Mac 2026, dengan Public Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal, dan ejen penempatan tunggal untuk IPO ini. - DagangNews.com