KUALA LUMPUR 23 Sept - Bursa Malaysia Berhad akan menganjurkan persidangan Invest Malaysia 2024 di Iskandar Puteri, Johor Bahru (Invest Malaysia - Iskandar) pada 26 September 2024.
Edisi perdana bagi tahun 2024 ini akan dihoskan bersama Maybank, CIMB Securities (CIMB) dan HSBC Malaysia (HSBC) dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan turut menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia - Iskandar yang bertemakan “Where Policy Meets Progress”.
Menerusi satu kenyataan, Bursa Malaysia berkata, Invest Malaysia - Iskandar akan menampilkan Iskandar sebagai pintu masuk utama di selatan negara.
"Ia akan mempamerkan perkembangan utama, dengan sorotan khas mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS SEZ) dan tawaran insentif menarik lain untuk pelabur," katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, ihaknya berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke Invest Malaysia – Iskandar, yang akan menarik pelabur asing dan tempatan dari kedua-dua belah Tambak, menawarkan pandangan tentang landskap dan pasaran makroekonomi Malaysia khususnya prospek di Johor.
"Invest Malaysia kekal sebagai acara penting dalam kalendar korporat Malaysia, mencetuskan wacana yang bermakna dan meningkatkan keyakinan pelabur dalam pasaran kami.
"Kerjasama dengan rakan kongsi broker seperti Maybank, CIMB dan HSBC Malaysia menyerlahkan komitmen pasaran modal terhadap peluang pelaburan dan pertumbuhan negara,” tambahnya.

Persidangan Invest Malaysia – Iskandar akan melibatkan empat sesi perbincangan yang turut menampilkan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi.
Katanya, Sesi 1: Pusat Data Malaysia: Trend & Pelaburan akan merangkumi landskap industri semasa, cabaran, peluang dan strategi utama untuk pelaburan pusat data.
"• Sesi 2: Pasaran & Tinjauan Hartanah Johor akan membentangkan pandangan tentang pasaran hartanah Johor, mempamerkan daya tahan dan pertumbuhan negeri.
"• Sesi 3: Sesi Panel GLICs akan merangkumi inisiatif baharu Kementerian Kewangan, GEAR-UP, bertujuan untuk memacu pembaharuan struktur dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
"• Sesi 4: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ): Kesan Potensi Terhadap Pembangunan Wilayah & Apa yang Diperlukan Perniagaan akan meneroka JSSEZ sebagai cadangan yang saling menguntungkan untuk Malaysia dan Singapura, serta peluang dan cabaran yang dikemukakannya," jelasnya.

Muhamad Umar menambah, sesi perbincangan ini akan menawarkan komuniti pelaburan global penghargaan yang lebih dan pemahaman yang lebih mendalam tentang kelebihan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan mampan.
"Selain itu, peluang yang dibentangkan bukan sahaja akan meningkatkan perhatian terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi keseluruhan di Malaysia," ujarnya.
Invest Malaysia - Iskandar ialah edisi kelima dalam siri Invest Malaysia untuk tahun ini, berikutan edisi sebelumnya di Melbourne (Mac), China (maya, April), Singapura (Ogos) dan Hong Kong (September).
Persidangan Invest Malaysia - Iskandar dijangka menarik lebih 500 delegasi, termasuk pelabur ekuiti dan ekuiti swasta asing dengan gabungan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) melebihi AS$13.5 trilion (kira-kira RM56.7 trilion). - DagangNews.com








